AI generatif kini semakin maju dengan ia bukan sahaja dapat menghasilkan gambar yang kelihatan realistik tetapi juga boleh digerakkan menggunakan animasi semudah memasukkan prom. Di media sosial tular video warga China menggunakan AI untuk menghasilkan animasi insan tercinta yang sudah meninggal dunia. Tetapi apakah pula hukumnya sekiranya orang Islam melakukan perkara yang sama?
Menurut mufti Wilayah Persekutuan, hukum melukis gambar sama ada orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab yang munasabah hukumnya adalah haram menurut majoriti ulama. Namun penggunaan menghasilkan gambar digital untuk tujuan kemaslahatan dan keperluan seperti tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan.

Selain itu, lukisan dan gambar yang tidak lengkap (hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja) iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala maka tiada bernyawa manusia dan haiwan tersebut maka hukumnya harus dengan bersyarat.
- Gambar yang dijana tidak sempurna seluruh anggota tubuh badan.
- Tidak mempamerkan aurat atau apa sahaja perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.
- Tidak mengaibkan insan yang telah meninggal dunia.
- Gambar insan yang telah meninggal dunia tidak bergerak-gerak kerana dikhuatiri ia akan menjatuhkan maruah atau memalukannya.
- Tujuan gambar dijana hanyalah untuk perkara-perkara kebaikan.
Mufti Wilayah Persekutuan juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menggunakan teknologi sedia ada. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan yang tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara.
