Google Assistant Pada TWS Mungkin Akan Digantikan Dengan “Gemini on earbuds”

TechnologyDigital
6 Aug 2024 • 11:52 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Google Gemini bakal boleh diakses secara lebih meluas. Anda kelak bukan sahaja boleh mengakses chatbot AI generatif Google ini di web dan di telefon tetapi juga ketika menggunakan set fon telinga. Jika selama ini antara ciri menarik pada TWS adalah boleh menyeru pembantu maya lalai peranti, misalnya pada iPhone siri akan diseru dan pada Android sama ada Google Assistant atau Alexa. Akan datang anda boleh ucapkan selamat tinggal kepada Google Assistant.

image is not available
Imej pengolokan oleh Amanz

Menurut laporan 9to5Google selepas “membedah” APK aplikasi Googlee versi 15.31, mereka menemui kod yang menyatakan Talk to Gemini on earbuds. Sumber percaya yang kod ini mungkin adalah ciri eksklusif untuk Pixel Buds. Google mungkin akan memberi pengguna Pixel Buds akses awal kepada Gemini melalui fon telinga. Kod ini tiada indikasi ia akan dibawa ke TWS lain, tetapi dengan Gemini telah menggantikan Google Assistant dan penawarannya telah berkembang ke Malaysia termasuk dengan sokongan Bahasa Melayu – saya tidak terkejut jika akses Google Assistant pada mana-mana TWS akan digantikan dengan Gemini.