
KUALA SELANGOR – Seorang remaja lelaki sempat memberitahu rakannya bahawa dia terkena renjatan elektrik sebelum rebah dan maut ketika berehat selepas bermain futsal di Taman Pancaran, Bestari Jaya di sini malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Muhammad Anas Muazmim, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memegang tiang lampu di gelanggang berkenaan.
Bapa Allahyarham, Norramin Senin, 49, berkata, kata-kata terakhir anaknya itu diketahui selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan yang berada bersamanya ketika kejadian.
“Arwah sempat memberitahu kawannya dia terkena renjatan elektrik sebelum terduduk dan rakannya menyambutnya. Saya sendiri tidak tahu keadaan pendawaian di situ sebelum ini kerana kawasan itu bebas digunakan,” katanya di sini.
Norramin berkata, anaknya tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan dan sememangnya aktif dalam kegiatan sukan termasuk bermain futsal serta bola baling di sekolah.
Ujarnya, dia tidak menyangka kehilangan Muhammad Anas buat selama-lamanya selepas anaknya sempat menikmati nasi goreng yang dimasaknya kira-kira pukul 8.15 malam tadi bersama ahli keluarga sebelum keluar bermain futsal.
Bercerita lanjut, Norramin mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas menerima panggilan daripada anak sulungnya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Tambahnya, sebaik tiba didapati anaknya dalam keadaan duduk dan tidak bergerak dengan penafasan telah tiada.
“Saya minta rakannya membaringkan arwah dan seorang rakan saya yang bekerja di klinik cuba memberikan bantuan termasuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan sementara menunggu pihak ambulans. Doktor cuba beberapa kali tetapi tiada tindak balas dengan saya berasa amat sedih ketika itu,” jelasnya.
Jenazah Muhammad Anas dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bestari Jaya selepas selesai proses bedah siasat, urusan mandi dan solat jenazah. – KOSMO! ONLINE
The post Muhammad Anas sempat beritahu kena renjatan elektrik sebelum maut appeared first on Kosmo Digital.






