Empat maut LPT1: Lori tangki hilang kawalan punca nahas 11 kenderaan

1 Sep 2026 • 1:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Empat maut LPT1: Lori tangki hilang kawalan punca nahas 11 kenderaan

TEMERLOH – Lori tangki simen dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri membabitkan 11 buah kenderaan yang meragut empat nyawa di Kilometer 110.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.55 malam itu, lori tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan menghala ke arah ke Pantai Timur.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati kesemua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dalam perjalanan dari arah yang sama.

“Setibanya di lokasi kejadian, lori tangki simen itu hilang kawalan sebelum melanggar beberapa buah kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di atas jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV iaitu lelaki berusia 18 tahun parah, manakala bapanya yang berusia 55 tahun meninggal dunia di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Azry, nahas itu turut mengorbankan pemandu kereta Proton S70, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, bersama isteri, Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, dan anak lelaki mereka yang berusia empat tahun.

Pemandu lori tangki yang berusia 52 tahun pula mengalami kecederaan parah.

Mayat empat mangsa termasuk tiga beranak itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

The post Empat maut LPT1: Lori tangki hilang kawalan punca nahas 11 kenderaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved