Muhammad Taufik kekal terajui PETRONAS susulan lanjutan kontrak

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 4:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Muhammad Taufik kekal terajui PETRONAS susulan lanjutan kontrak Image from: Muhammad Taufik kekal terajui PETRONAS susulan lanjutan kontrak hamden17/08/2026 - 16:07

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz dijangka kekal menerajui Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) selepas kontraknya dilaporkan dilanjutkan, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan beliau sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan syarikat minyak nasional itu.

 

Tiga sumber industri memaklumkan kepada The Edge, Muhammad Taufik menerima lanjutan kontrak selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada Julai lalu, yang akan menjadi lanjutan kedua sejak beliau menyertai PETRONAS pada Julai 2020.

 

Kontrak beliau sebelum ini dilanjutkan pada Julai 2023.

 

Bagaimanapun, tempoh lanjutan kontrak terbaharu itu masih belum jelas, dengan satu sumber menyatakan ia untuk tiga tahun manakala sumber lain berkata ia mungkin selama dua tahun. Terdapat juga kemungkinan kontrak dua tahun dengan pilihan lanjutan setahun.

 

PETRONAS ketika ditanya mengenai perkara itu berkata pihaknya tidak mengulas spekulasi atau perkara berkaitan urusan dalaman kakitangan, menurut The Edge.

 

Rundingan PETRONAS-Petros Antara Isu Utama

Pengekalan Muhammad Taufik dilihat penting ketika PETRONAS masih berdepan rundingan dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengenai kawalan dan pengurusan sumber minyak dan gas di Sarawak.

 

Pemerhati berpandangan kesinambungan kepimpinan dapat membantu memastikan rundingan antara PETRONAS dan Petros berjalan lancar, terutama ketika kedua-dua pihak dilaporkan semakin hampir mencapai penyelesaian.

 

Pertikaian tersebut sebahagian besarnya berkisar mengenai peranan Petros dalam industri gas Sarawak serta isu royalti minyak dan gas yang diterima negeri berkenaan.

 

Sarawak mempunyai kira-kira 60% daripada rizab gas negara dan menyumbang sekitar 90% eksport gas asli cecair (LNG) Malaysia.

 

Ketidaktentuan Geopolitik Perlukan Kesinambungan Kepimpinan

Selain isu PETRONAS-Petros, ketidaktentuan geopolitik yang terus mempengaruhi harga minyak mentah turut menjadikan kesinambungan kepimpinan sebagai perkara penting bagi syarikat minyak nasional itu.

 

Pemerhati berkata, pelantikan individu baharu pada ketika ini mungkin memerlukan tempoh penyesuaian yang panjang, sedangkan PETRONAS perlu memastikan kesinambungan bekalan tenaga dan mengemudi kumpulan dalam persekitaran harga komoditi yang tidak menentu.

 

PETRONAS juga berdepan tekanan kewangan susulan kemerosotan harga minyak dan produk petrokimia.

 

Bagi FY2025, keuntungan bersih PETRONAS susut 17.6% kepada RM45.4 bilion daripada RM55.1 bilion setahun sebelumnya, manakala hasil merosot 16.8% kepada RM266.1 bilion daripada RM320 bilion pada FY2024.

 

Berikutan keputusan itu, lembaga pengarah PETRONAS meluluskan dividen RM20 bilion bagi 2026, berbanding RM32 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Muhammad Taufik menyertai PETRONAS sebagai Presiden dan CEO Kumpulan pada Julai 2020 selepas sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) PETRONAS mulai Oktober 2018.

 

Beliau sebelum ini merupakan rakan kongsi di PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC Malaysia), selain pernah memegang jawatan CFO di Tanjung Plc dan SapuraKencana Petroleum Bhd, yang kini dikenali sebagai Vantris Energy Bhd. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved