hamden04/08/2026 - 17:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos - Vantris Energy Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor minyak dan gas (O&G) selepas anak syarikatnya memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM830 juta melibatkan segmen Kejuruteraan & Pembinaan (E&C) serta Penggerudian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vantris Energy berkata kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya iaitu VTEB Offshore Sdn. Bhd. (VOSB) dan VTEB Drilling Asia Sdn. Bhd. (VTEBDA).
Bagi segmen E&C, VOSB menerima perintah kerja bagi penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan pemasangan (Transportation & Installation – T&I) kemudahan luar pesisir untuk PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (PCSB).
Perintah kerja itu adalah di bawah kontrak sedia ada bagi penyediaan perkhidmatan T&I kemudahan luar pesisir untuk PCSB.
Kerja-kerja berkenaan telah bermula pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 (2QFY27) dan dijangka selesai pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2028 (3QFY28).
Sementara itu, segmen Penggerudian VTEBDA turut mencatat perkembangan positif apabila menerima Notis Penyerahan (NOA) daripada PCSB bagi penggunaan pelantar Sapura Esperanza di bawah kontrak penyediaan perkhidmatan pelantar penggerudian berbantukan tender (TADR).
NOA tersebut dijangka bermula pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 (3QFY27).
Selain itu, VTEBDA turut memperoleh kontrak baharu daripada Vestigo Petroleum Sdn. Bhd. bagi penyediaan perkhidmatan TADR menggunakan pelantar Sapura Jaya, yang juga dijangka bermula pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027.
Vantris Energy berkata, ketiga-tiga penganugerahan kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 dan seterusnya.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa kontrak berkenaan tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham atau struktur pegangan saham Vantris Energy.
Sementara itu dalam kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, syarikat kini memasuki tahun kewangan baharu dengan hala tuju strategik yang lebih jelas selepas selesai melaksanakan proses penstrukturan semula.
“Kontrak-kontrak ini mencerminkan kemajuan yang kami capai dalam membina semula perniagaan melalui pelaksanaan yang lebih berdisiplin dan berfokus.
“Keutamaan kami adalah untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran teras yang mempunyai keupayaan terbukti, hubungan kukuh dengan pelanggan serta rekod pelaksanaan yang cemerlang,” katanya. - DagangNews.com





