hamden03/08/2026 - 11:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos - TA Research mengekalkan saranan 'Beli' saham Duopharma Bhd susulan lanjutan kontrak Approved Products Purchase List (APPL) selama enam bulan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), yang dijangka memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan sehingga separuh pertama 2027.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan berkenaan dengan harga sasaran (TP) RM1.69 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 15 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) CY27 serta premium ESG sebanyak 3%.
Menurut firma itu lagi, lanjutan kontrak APPL tersebut mengukuhkan prospek pendapatan jangka sederhana Duopharma, dengan nilai kontrak lanjutan dianggarkan sekitar RM115 juta.
"Keputusan lanjutan kontrak ini tidak mengejutkan memandangkan pihak pengurusan sebelum ini telah memberi petunjuk bahawa lanjutan selama enam bulan lebih berkemungkinan berbanding penganugerahan kontrak baharu selama tiga tahun," katanya dalam nota penyelidikan.
Jumaat lalu, Duopharma memaklumkan kumpulan itu menerima lanjutan kontrak APPL daripada KKM bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari 2027 hingga 30 Jun 2027, atau sehingga tarikh lain yang ditetapkan oleh kerajaan.
Di bawah kontrak lanjutan tersebut, jumlah produk yang dibekalkan Duopharma akan dikurangkan kepada 97 unit penyimpanan stok (SKU) berbanding 100 SKU sebelum ini selepas tiga produk tidak lagi termasuk dalam senarai bekalan.
Pengurangan Tiga SKU Tidak Jejas Sumbangan
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pengurangan tiga SKU berkenaan tidak memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan kumpulan kerana sumbangannya dianggarkan kurang daripada 1% daripada jumlah hasil Duopharma.
Di bawah kontrak APPL semasa, Duopharma membekalkan 100 produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada fasiliti penjagaan kesihatan kerajaan di Malaysia dengan nilai keseluruhan sebanyak RM684.2 juta sehingga 31 Disember 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, lanjutan kontrak berkenaan menyediakan kesinambungan operasi kepada Duopharma sementara menunggu hala tuju kontrak bekalan kerajaan pada masa hadapan.
"Kami menganggarkan nilai lanjutan kontrak sekitar RM115 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan kumpulan sehingga 1H27," katanya.
Sementara itu, TA Research mengekalkan unjuran pendapatan Duopharma bagi FY26 hingga FY28 tanpa sebarang perubahan.
Dengan sokongan daripada kesinambungan kontrak kerajaan serta kedudukan kukuh dalam segmen bekalan farmaseutikal, firma itu melihat prospek Duopharma kekal positif dalam jangka sederhana. - DagangNews.com






