
KUALA LUMPUR - Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai satu langkah tepat dan senada dengan dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.
Beliau berkata, walaupun Presiden Bersatu itu tidak berbincang dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, namun keputusan itu dibuat mengikut dasar parti yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP.
Katanya, sekiranya tindakan yang dilakukan oleh Muhyiddin adalah salah, sudah tentu Perikatan Nasional (PN) akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri 2023.
"Tetapi faktanya tidak. PN menang besar di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PN itu juga hampir menang di Selangor, iaitu negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH).
"PN turut membuat "inroads" yang signifikan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Sebab sebahagian besar pengundi Melayu yang menyokong Umno dalam PRU15 beralih arah menyokong PN dalam PRN 2023.
"Pengundi tidak menyukai keputusan pemimpin mereka membelakangkan dasar parti iaitu "No Anwar, No DAP" dengan membuat keputusan bekerjasama dengan DAP.
"Umno bincang dalam Majlis Tertinggi untuk bekerjasama dengan DAP. Tetapi kesannya Umno ditolak oleh penyokong Umno sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini mendakwa Muhyiddin membuat keputusan menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 tanpa perbincangan dengan Majlis Tertinggi (MT) PN.
Wan Fayhsal berkata, keputusan itu dibuat segera oleh Muhyiddin di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas beberapa ketua parti termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.
Dalam perkembangan sama, Marzuki turut menafikan keputusan itu dibuat secara bersendirian kerana pertemuan berkenaan turut dilakukan bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Marzuki berkata melihat kepada fakta yang berlaku pada Umno itu, penolakan cadangan membentuk kerajaan dengan DAP adalah suatu ijtihad politik yang betul.
"Mereka yang mempersoalkan keputusan ini mungkin orang yang tidak sabar hendak jadi kerajaan. Kerjasama dengan DAP pun boleh, langgar dasar parti pun boleh, asalkan jadi kerajaan," katanya. - 22 Oktober, 2025
The post ‘Muhyiddin buat keputusan tepat tolak kerajaan perpaduan’: Marzuki appeared first on Scoop.

