KUALA LUMPUR – “Itu nasib sayalah.”
Demikian reaksi bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana terpaksa ‘turun naik’ mahkamah sehingga berdepan dua keputusan yang membebaskannya daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan kes Jana Wibawa.
**media[3648644]**
Muhyiddin berharap, tiga lagi pertuduhan kes rasuah, akan memihak kepadanya.
Ahli Parlimen Pagoh berusia 79 tahun itu berkata, mahkamah menetapkan beberapa tarikh untuk pemfailan hujahan bertulis dan lisan.
“Doakan, mudah-mudahan baki kes yang belum selesai kelak, juga akan membebaskan saya,” katanya kepada pemberita selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Sementara itu, peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, pembebasan kali pertama diperoleh selepas kes berkenaan diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi (di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin) sebelum dibawa ke Mahkamah Rayuan.
Menurutnya, pihak pembelaan sememangnya telah mencabar pertuduhan tersebut sejak peringkat awal.
“Kami telah mencabar pertuduhan tersebut dari peringkat awal lagi di Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah Tinggi bersetuju bahawa pertuduhan tersebut sepatutnya dibatalkan namun, kes itu telah dibawa ke Mahkamah Rayuan dan kami perlu kembali ke sini, sebab itulah pembebasan kali kedua ini berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut itu, Hisyam berkata, pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk menghentikan empat pertuduhan yang dihadapi ahli politik berkenaan.
Beliau berkata, pihak pendakwaan memohon supaya Muhyiddin dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), namun pihak pembelaan membantah permohonan itu kerana pendakwaan tidak memberikan alasan kukuh mengapa pertuduhan tersebut perlu dikekalkan.
“Kami memberitahu mahkamah bahawa adalah tidak adil dan tidak saksama untuk pertuduhan-pertuduhan tersebut dikekalkan. Kami memohon pembebasan penuh.
“Mahkamah telah mendengar hujahan kami dan bersetuju bahawa ia merupakan prinsip asas undang-undang apabila pihak pendakwaan datang ke mahkamah dan memohon DNAA tanpa sebarang alasan yang kukuh dan kuat,” katanya.
Hisyam berkata mahkamah kemudian memerintahkan Muhyiddin dibebaskan sepenuhnya daripada empat pertuduhan berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, menjadi tidak adil sekiranya pertuduhan tersebut terus tergantung terhadap Muhyiddin sedangkan pihak pendakwaan tidak pernah mengemukakan sebarang bukti berkaitan empat pertuduhan itu.
“Kami telah menunggu sebarang bukti untuk dikemukakan supaya kami dapat meneliti dan mencabar bukti-bukti tersebut.
"Nasib berpihak kepada kami, kerana tiada bukti seumpama itu yang pernah dikemukakan terhadap anak guam.
“Oleh itu, dengan ketiadaan bukti sedemikian, saya rasa hakim telah membuat keputusan yang betul untuk membebaskan beliau,” katanya.
Pada Selasa, Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memberikan perintah DNA kepada Muhyiddin.
“Mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh atas empat kes itu sahaja, jadi kita teruskan perbicaraan dengan baki tiga lagi berkaitan Jana Wibawa,” kata hakim.
Beliau memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan empat daripada tujuh pertuduhan berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd itu.
Pada 15 Ogos 2023, Muhyiddin diberi perintah DNA selepas Muhammad Jamil membenarkan permohonan ahli politik itu untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa.
Bagaimanapun pada 24 Februari 2024, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengarahkan kes rasuah itu dikembalikan ke mahkamah rendah untuk tindakan lanjut.






