
KUALA LUMPUR - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memperjelas dan mengelakkan kekeliruan berhubung dakwaan beliau ‘curi duit parti dan simpan dalam rumah'.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, perkara itu perlu dijelaskan apatah lagi ia tidak pernah dibangkitkan dalam banyak pertemuan antara Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Mahathir sebelum ini.
“Tuduhan Muhyiddin mencuri duit parti dan menyimpannya di rumah adalah tidak benar dan telah dinafikan dengan tegas dan sekeras-kerasnya oleh beliau sendiri.
“Dakwaan ini bercanggah sama sekali dengan prinsip yang dipegang oleh Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri, iaitu semua sumbangan politik mesti dimasukkan ke dalam akaun parti dan diurus secara telus oleh Bendahari Agung,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, menerusi satu video berdurasi dua minit yang tular, Mahathir mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu mencuri duit sumbangan kepada parti PN dan didakwa disimpan di kediamannya.
“Duit dibagi kepada parti, dia tak bagi kepada parti dia simpan di rumah dia,” kata Mahathir dalam satu pertemuan bersama Armada Johor di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 10 Disember lalu.
Bagaimanapun, Armada Johor berkata rakaman video pertemuan mereka dengan Mahathir itu telah dimanipulasi’ dan ‘disunting’ bagi mencetuskan persepsi palsu bahawa mantan Perdana Menteri itu menuduh Muhyiddin mencuri wang parti.
Malah Ketua Armada Johor, Alias Rasman tampil menjelaskan bahawa dakwaan Mahathir itu sebenarnya merujuk kepada individu lain, bukan Muhyiddin.
Sabtu lalu, Muhyiddin menerusi kenyataan di media sosial menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan beliau tidak pernah mencuri wang parti, malah semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.
Muhyiddin bagaimanapun enggan mengheret Dr Mahathir ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, jika Muhyiddin berniat untuk menyeleweng dana parti, sudah tentu duit itu boleh disimpan di rumah, di 'safe house', di dalam almari, di dalam akaun peribadi atau di dalam akaun syarikat beliau ketika menjadi Perdana Menteri.
Namun, kata Tun Faisal, perkara itu tidak berlaku.
“Dakwaan beliau mahu menjadi Perdana Menteri semata-mata untuk mengelakkan dipenjara juga tidak munasabah.
“Tan Sri Muhyiddin sendiri pernah menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding sebagai Presiden Bersatu pada 2023 dan sekiranya benar dakwaan bahawa beliau takut dipenjarakan, bukankah tidak logik untuk beliau melepaskan jawatan Presiden ketika itu?
“Bukankah lebih baik jika beliau mengikut jejak langkah presiden parti tertentu,’’ sindirnya.
Menurut Tun Faisal, besar kemungkinan maklumat yang tidak benar telah disampaikan kepada Mahathir. - 15 Disember, 2025
The post Muhyiddin, Mahathir dicadang jumpa empat mata, perjelaskan tuduhan ‘curi duit parti, simpan dalam rumah’ appeared first on Scoop.
