Muhyiddin nafi Bersatu mahu wujud hubungan rapat dengan PH

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 2:56 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tohmahan bahawa parti tersebut sedang mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH).

Perkara berkenaan, katanya tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat Bersatu termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi yang menentukan dasar dan hala tuju parti.

“Ini adalah tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat semata-mata untuk menjejaskan keharmonian dalam parti Bersatu dan antara parti-parti anggota Perikatan Nasional.

“Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa ada kumpulan dalam parti itu mahu membawa Bersatu lebih dekat dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Hamzah, kumpulan itu melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan PKR namun beliau tidak menamakan pihak yang dimaksudkan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerjasama Bersatu dengan mana-mana parti lain adalah berpandukan prinsip yang jelas ini.

“Atas prinsip inilah Bersatu telah mengasaskan Perikatan Nasional (PN) bersama PAS dan kemudiannya dianggotai oleh Gerakan dan MIPP,’’ katanya.

Beliau berkata, PN adalah wadah terbaik untuk Bersatu merealisasikan perjuangannya dan parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian ini.

“Fokus Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkukuhkan parti dan memperkuatkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-16,’’ katanya. - 16 Mac, 2026

The post Muhyiddin nafi Bersatu mahu wujud hubungan rapat dengan PH appeared first on Scoop.