Mukhriz kongsi kisah Tun Hasmah sanggup datang berkali-kali ke rumah demi cicit – ‘Bukan setakat tengok, nak dengar suara’

Family & Parenting
29 Oct 2026 • 1:45 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Mukhriz kongsi kisah Tun Hasmah sanggup datang berkali-kali ke rumah demi cicit – ‘Bukan setakat tengok, nak dengar suara’

KENANGAN bersama insan tersayang sering tersimpan dalam perkara kecil yang hanya disedari nilainya selepas mereka tiada. Buat Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, antara memori yang sukar dilupakan bersama Allahyarham ibunya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, ialah kesungguhan wanita itu mahu mendengar suara cicit terbaharunya.

Berkongsi kisah tersebut ketika majlis tahlil sempena genap sebulan pemergian Allahyarhamah, Mukhriz menceritakan bagaimana ibunya beberapa kali datang ke rumahnya semata-mata untuk melihat dan mendukung cicit keempatnya, Eden Zakaria Ezran Cheah.

Eden merupakan cahaya mata sulung Meera Alyanna Mukhriz atau lebih dikenali sebagai Ally, hasil perkahwinannya dengan Ezran Cheah pada 20 Februari 2020.

Menurut Mukhriz, cucunya itu dilahirkan pada Ogos lalu, sekali gus menjadikan Tun Hasmah seorang moyang kepada empat orang cicit.

Namun, kunjungan Allahyarhamah bukan sekadar untuk melihat wajah si kecil. Ada satu perkara yang benar-benar dinantikannya, iaitu mendengar sendiri suara Eden.

“Beberapa kali dia datang, dia tak beritahu. Dia tak telefon dulu, tiba-tiba dia muncul.

“Bila ditanya datang nak tengok cicit ke, dia kata bukan setakat nak tengok, dia nak dengar suara,” cerita Mukhriz.

Mahu dengar suara cicit

Rupa-rupanya, dua kunjungan awal Allahyarhamah tidak memberikan peluang untuk mendengar suara cicit kesayangannya itu kerana Eden sedang tidur.

Tun Hasmah hanya membiarkan si kecil berehat, meskipun hasratnya untuk mendengar suara Eden masih belum kesampaian.

Pada kunjungan ketiga, penantian itu akhirnya berakhir apabila Eden mula menangis selepas bergerak-gerak ketika tidur.

Reaksi itu membuatkan Allahyarhamah tersenyum lebar kerana akhirnya dapat mendengar suara cicitnya sendiri.

“Dia kata hari ini baru dengar suara. Jadi, itu satu kenangan manis bagi kita,” ujar Mukhriz.

Bagi keluarga, detik sederhana itu kini menjadi memori berharga yang akan terus dikenang. Lebih-lebih lagi, jurang usia antara Tun Hasmah dengan Eden mencecah 100 tahun, menjadikan pertemuan mereka satu kisah istimewa merentas generasi.

Mukhriz memberitahu,, keluarganya turut mempunyai banyak gambar yang merakamkan kebersamaan Allahyarhamah dengan Eden. Gambar-gambar itu akan menjadi antara cara untuk memperkenalkan si kecil kepada moyangnya apabila dia semakin membesar kelak.

Kenangan bersama moyang

Namun, bagi Mukhriz, mengenali seseorang melalui gambar sahaja tidak cukup untuk memahami siapa insan itu sebenarnya.

Image from: Mukhriz kongsi kisah Tun Hasmah sanggup datang berkali-kali ke rumah demi cicit – ‘Bukan setakat tengok, nak dengar suara’

Beliau berharap Eden bukan sekadar mengenali wajah moyangnya, malah turut mengetahui perjalanan hidup, jasa dan sumbangan Allahyarhamah kepada masyarakat sepanjang hampir satu abad kehidupannya.

“Macam mana seorang yang baru saja datang ke dunia ini boleh ingat nyang dia? Siapa nyang dia? Apa yang dibuat sepanjang hidup selama 100 tahun itu? Apa sumbangannya kepada masyarakat?” ungkapnya.

Persoalan itu membuatkan Mukhriz melihat pentingnya peranan keluarga dalam menyampaikan kisah kehidupan generasi terdahulu kepada anak cucu.

Baginya, nilai kasih sayang, keprihatinan terhadap orang lain, ketekunan berkhidmat kepada masyarakat, kejujuran dan dedikasi terhadap keluarga tidak seharusnya hilang ditelan zaman.

Sebaliknya, semua nilai itu perlu terus diceritakan dan ditunjukkan kepada generasi baharu agar mereka memahami bahawa legasi seseorang bukan hanya terletak pada nama atau pencapaiannya, tetapi juga pada cara insan itu menyentuh kehidupan orang lain.

Bagi Eden, mungkin kenangan bersama moyangnya hanya akan dikenali melalui foto dan cerita keluarga apabila dewasa nanti.

Namun, daripada kisah seorang moyang yang sanggup datang tanpa dimaklumkan terlebih dahulu demi mendengar suara cicitnya, tersimpan satu warisan kasih sayang yang boleh terus hidup meskipun orangnya sudah tiada.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved