MUKMIN Mahu Kukuh Perpaduan Komuniti India Muslim Tempatan

20 Jun 2026 • 7:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

MUKMIN Mahu Kukuh Perpaduan Komuniti India Muslim Tempatan

KUALA LUMPUR - Memperkukuh perpaduan komuniti India Muslim tempatan menjadi objektif utama Pertubuhan Muslim India Malaysia (MUKMIN). 

Semua agenda tersebut dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan modal insan.

Presidennya, Datuk Shahul Dawood berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui kerjasama lebih erat antara pertubuhan, tokoh masyarakat dan golongan profesional bagi mewujudkan peluang yang lebih luas untuk komuniti berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama antara pelbagai pihak mampu membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan masyarakat.

“MUKMIN diwujudkan sebagai platform yang menghimpunkan kekuatan sedia ada supaya manfaat yang lebih besar dapat dinikmati oleh komuniti,” katanya selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) organisasi itu.

Beliau berkata, MUKMIN memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu pendidikan, pemerkasaan ekonomi, kepimpinan, kebajikan sosial dan perpaduan komuniti.

“Sebagai langkah awal, MUKMIN berjaya memperoleh dana biasiswa bernilai lebih RM7 juta menerusi kerjasama dengan enam institusi pengajian tinggi tempatan, sekali gus menyediakan lebih 350 peluang pengajian dalam bidang akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Shahul berkata, organisasi itu juga akan melaksanakan program “Adopt A Graduate” yang menggalakkan syarikat korporat serta golongan profesional membantu graduan melalui peluang pekerjaan, bimbingan kerjaya dan pendedahan industri.

Inisiatif berkenaan katanya, bertujuan memastikan pelajar bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah mampu memasuki pasaran pekerjaan dengan lebih mudah.

“MUKMIN dijangka dilancarkan secara rasmi pada Ogos depan sempena sambutan Bulan Kebangsaan, dengan kehadiran lebih 2,500 peserta termasuk pemimpin masyarakat, pembuat dasar dan delegasi antarabangsa.

“Majlis itu turut dijangka menghimpunkan wakil komuniti India Muslim dari beberapa negara bagi mengukuhkan jaringan kerjasama di peringkat serantau,” katanya.

Shahul berkata, MUKMIN tidak sekadar mahu menjadi sebuah pertubuhan baharu, sebaliknya berperanan sebagai gerakan yang mampu membawa perubahan serta memberi impak positif kepada komuniti Muslim India secara menyeluruh.

“Kejayaan organisasi akan diukur berdasarkan manfaat sebenar yang dapat dirasai oleh masyarakat melalui program dan inisiatif yang dilaksanakan,” katanya. - Getaran, 20 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved