
KOTA BHARU: Pas tidak seharusnya menyerahkan kerusi boleh menang kepada parti lain sebaliknya perlu yakin dengan kekuatan sendiri ketika menghadapi pilihan raya akan datang.
Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, parti itu perlu berani menentukan kerusi yang benar-benar berpotensi dimenangi dan tidak mengulangi pendekatan menyerahkan kerusi yang menjadi haknya kepada pihak lain.
Katanya, Pas yang sudah berusia 75 tahun tidak sepatutnya berasa kerdil dengan parti yang baru muncul, khususnya dalam soal kerjasama politik dan pembahagian kerusi.
“Kita akan tentukan kerusi mana yang patut, yang boleh dimenangi oleh Pas. Kita jangan lepaskan kerusi itu kepada siapa-siapa pun.
“Kerusi hak kita, boleh menang bagi kepada orang, hak nak kalah kita ambil. Itu ikhlas dengan bodoh namanya,” katanya semasa penggulungan Ucapan Dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, sikap terlalu merendah diri terhadap parti lain boleh menyebabkan Pas akhirnya hanya berperanan sebagai jentera untuk memenangkan calon parti berkenaan.
“Lepas itu parti dia besar, parti kita kecil, dia jadi calon, kita jadi jentera. Cakap terus-teranglah. Jangan sembunyi-sembunyi. Kita habis sudah waktu berasa kerdil kepada orang yang main tumpang kita, kita pula berasa kerdil,” ujarnya. – UTUSAN
The post Muktamar: Jangan serah kerusi boleh menang Pas kepada parti lain appeared first on Utusan Malaysia.





