
MELAKA: Hubungan antara Pas dan UMNO tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut kepentingan politik atau persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya perlu diperluaskan kepada pelbagai bidang.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penyatuan antara kedua-dua parti perlu dilihat dalam konteks lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada kepentingan pilihan raya, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek demi kepentingan bersama.
Namun beliau melihat kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas semakin positif dalam menghadapi PRN Melaka susulan hubungan yang kian erat antara kedua-dua parti.
“Perkembangan itu dapat dilihat menerusi hubungan baik yang terjalin termasuk kehadiran delegasi Pemuda UMNO pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia di Kelantan baru-baru ini.
“Hubungan tersebut kini diteruskan pula menerusi kunjungan balas pimpinan Pemuda Pas ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 September ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
“Insya-Allah kita nak memperkukuhkan lagi penyatuan yang sedang berlaku dan telah berlaku hari ini. Hubungan ini sangat baik, sangat mesra dan saya rasa kita boleh kekalkan momentum ini,” katanya ketika ditemui pada Program Townhall Anak Muda sempena Karnival Anak Muda di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
PRN Melaka yang dijangka berlangsung hujung September ini bakal menjadi medan penting untuk melihat sejauh mana hubungan BN-Pas dapat diterjemahkan dalam bentuk kerjasama politik, termasuk strategi dan pembahagian kerusi sekiranya persetujuan dicapai.
Ditanya sama ada perkembangan tersebut memberi petunjuk bahawa BN dan Pas akan bekerjasama pada PRN Melaka akan datang beliau berkata, keputusan muktamad masih tertakluk kepada kepimpinan tertinggi parti.
Bagaimanapun, Muhamad Akmal mengakui terdapat hasrat dalam kalangan Pemuda UMNO supaya kerjasama antara BN dan PN dapat direalisasikan pada PRN berkenaan.
“Itu keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO (MKT). Tetapi betul, hasrat kita sudah tentu BN dan PN. Itu hasrat daripada Pemuda. Jadi, Insya-Allahlah,” katanya.
Mengulas perkembangan hubungan antara Pemuda UMNO dan Pemuda Pas, Muhamad Akmal berkata, kehadiran rombongan Pemuda Pas pada PAU nanti menunjukkan hubungan kedua-dua pihak semakin terbuka dan mesra. – UTUSAN
The post Penyatuan Pas-UMNO jangan terikat kepentingan pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.





