
PETALING JAYA, 24 OGOS: Industri filem negara perlu lebih terbuka bagi memberi ruang kepada penggiat seni menghasilkan karya yang kreatif dan kritis, namun pada masa sama kekal berteraskan budaya, akhlak dan nilai masyarakat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan industri filem dapat berkembang seiring perubahan teknologi baharu, termasuk animasi, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI).
"Saya tidak mahu menggambarkan saya di sosok yang terlalu liberal kerana dihujat kecam oleh kalangan yang sangat sensitif. Tapi saya nak bicara hal ini secara terus terang.
"Kalau kamu mahu negara ini maju, kita harus terima kenyataan bahawa anak-anak muda dan khalayak menginginkan suatu suasana yang lebih bebas dan terbuka. Tidak bermakna kita harus ikut acuan barat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Menara Finas Damansara di sini hari ini.
Menurut beliau, acuan Timur juga tidak semestinya bermaksud mengamalkan aliran yang terlalu konservatif, sebaliknya perlu mengekalkan budaya dan nilai sambil memberi ruang kepada keterbukaan.
Katanya, terlalu banyak kekangan dan sekatan boleh menyebabkan industri filem sukar berkembang sebagai industri yang lebih kompetitif serta menarik khalayak.
"Tidak terbuka sehingga luntur budaya dan akhlak dan nilai. Tapi tidak terlalu mengongkong. Bayangkan filem mahu di kembangkan sebagai suatu industri yang lebih kompetitif dan menarik khalayak tetapi terlalu banyak sekatan kongkong," ujranya.
Anwar berkata, kerajaan mahu memastikan ruang perbincangan yang lebih terbuka diberikan supaya penggiat seni tidak berasa terlalu tertekan dan terkongkong dalam menghasilkan karya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memberi pendedahan awal kepada generasi muda terhadap filem tempatan bagi meningkatkan minat mereka terhadap karya serta budaya negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata, pendekatan keterbukaan sememangnya menjadi antara pendekatan FINAS dalam memastikan industri filem terus berkembang.
Jelas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, perubahan dalam pendekatan penapisan kandungan turut menunjukkan perkembangan yang lebih progresif dalam industri.
"Saya fikir ini memang pendekatan FINAS dan juga Lembaga Penapisan Filem (LPF). Kita selalu bekerjasama dengan AFIF. Kalau kita lihat dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, LPF sudah bergerak lebih terbuka dan memberi lebih penekanan kepada keterbukaan dalam penapisan," katanya.
Menurutnya, perkembangan itu dapat dilihat menerusi perubahan klasifikasi filem apabila kandungan tertentu tidak lagi dipotong, sebaliknya diberikan klasifikasi bersesuaian bagi memastikan filem dapat ditayangkan kepada khalayak yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Pengerusi FINAS Dato’ Dr Hans Isaac berkata, kandungan tempatan kini semakin meningkat hasil pembelajaran daripada produksi antarabangsa, termasuk dari aspek teknikal dan tenaga kerja.
"Kami mengaku bukan semua filem hebat termasuk di Hollywood. Cuma kita melihat daripada antarabangsa yang berkualiti sahaja. Tapu di FINAS, kami memberi peluang kepada semua filem untuk ditayangkan," katanya.
Hans berkata, FINAS menyasarkan industri filem tempatan untuk menembusi pasaran Asia terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Katanya, usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan kerajaan, termasuk dari segi dana, peruntukan, perbincangan dan kerjasama produksi antarabangsa.






