
MARANG: Tema perpaduan ummah menjadi antara fokus akan dibahas dan dibincangkan dalam Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan, minggu depan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tema itu penting kerana parti tersebut mahu mengajak kerjasama parti-parti politik lain ke arah perpaduan ummah dalam mendepani cabaran semasa.
“Kita hendak mengajak perpaduan orang Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata, fokus lain adalah memperkemas jentera pilihan raya Pas berikutan pilihan raya umum bakal berlangsung dalam tempoh terdekat memandangkan penggal yang hampir tamat.
“Perpaduan parti pun kena ada. Perpaduan kita baik, tiada krisis dalaman,” katanya.
Menurut beliau, Pas menjemput UMNO dan parti-parti dalam rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadiri muktamar berkenaan yang berlangsung ketika sambutan jubli intan Pas ke-75.
Bagaimanapun, kata beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga merupakan anggota PN tidak dijemput kerana mengganggap parti itu sudah terkeluar daripada gabungan susulan tindak-tanduk mereka. – UTUSAN
The post Muktamar Pas sentuh tema perpaduan ummah appeared first on Utusan Malaysia.






