KUALA LUMPUR - UMNO bersetuju menghantar wakil daripada parti itu untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-72 yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, pada 2 hingga 5 September depan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, parti belum menentukan wakil berkenaan.
“Kita pasti akan hantar wakil ke muktamar berkenaan," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, di sini pada Ahad.
Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Ahmad Zahid antara pemimpin utama yang dijemput oleh Pas untuk menghadiri muktamar parti itu pada awal bulan depan.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, tiga lagi pemimpin tertinggi daripada parti tersebut turut dijemput.
Menurut beliau, Pas turut akan menjemput pimpinan parti-parti politik lain, khususnya daripada Perikatan Nasional (PN) dan ahli Parlimen untuk menghadiri Muktamar berkenaan.
Muktamar Tahunan Pas ke-72 dijadualkan dirasmikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 4 September.






