
KAJANG – “Saya minta maaf. Saya nak cepat, nak jalan kaki ke depan sana sebab anak saya kemalangan,”
Itu kata-kata seorang ibu yang masih terngiang-ngiang di fikiran Mohammad Jalalluddin, 37, sebelum dia mengambil keputusan membonceng wanita berkenaan meredah kesesakan untuk ke lokasi kemalangan maut di Lebuh Raya Cheras-Kajang, semalam.
Lebih memilukan, wanita tersebut ketika itu dipercayai belum mengetahui bahawa anak lelakinya Muhammad Arifat Shaion, 23, sudah meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.
Mohammad Jalalluddin berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pekan Batu 9 dan bercadang singgah di sebuah stesen minyak sebelum terlihat sebuah kereta BMW berhenti di bahu jalan.
Menurut pekerja Perodua Shah Alam itu, dia bersama beberapa penunggang motosikal sedang melalui bahagian tepi jalan ketika pintu kereta berkenaan dibuka secara tiba-tiba oleh ibu mangsa.
“Saya dan motosikal di hadapan sedang melalui tepi jalan itu. Tiba-tiba ibu mangsa membuka pintu kereta secara mengejut hingga berlaku kemalangan dengan sebuah motosikal Yamaha Y15 di hadapan.
“Motosikal saya pula dilanggar sebuah motosikal penghantar makanan yang berada di belakang. Mula-mula memang saya nak marah, tetapi mak cik itu terus minta maaf dan beritahu dia mahu cepat kerana anaknya kemalangan di hadapan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohammad Jalalluddin berkata, wanita itu pada ketika tersebut mahu berjalan kaki menuju ke lokasi kejadian berikutan keadaan trafik yang terlalu sesak.
Katanya, selepas mendengar penjelasan wanita berkenaan, perasaan marahnya terus hilang.
“Mak cik tu kata dia dah nampak anaknya kena tutup dengan kain putih. Jadi saya suruh penunggang Y15 yang terlibat kemalangan tadi selesaikan urusan dengan kawan ibu mangsa yang memandu BMW itu.
“Saya bersama seorang penghantar makanan pula terus bawa ibu mangsa dan rakannya naik motosikal ke kawasan kemalangan sebab jalan memang terlalu sesak,” katanya.
Menurutnya, mereka membawa kedua-dua wanita itu tanpa topi keledar kerana mahu segera sampai ke lokasi yang terletak tidak jauh dari situ dalam keadaan trafik hampir tidak bergerak.
Kisah tersebut sebelum ini menjadi perhatian selepas satu rakaman video tular memaparkan ibu mangsa tiba di lokasi kejadian dengan membonceng sebuah motosikal sebelum kelihatan rebah sebaik menghampiri jasad anaknya.
Mohammad Jalalluddin berkata, dia percaya wanita berkenaan terlalu sedih selepas melihat sendiri keadaan anaknya di lokasi kejadian.
“Ya, betul. Mungkin dia terlalu sedih apabila nampak jasad dan keadaan anak dia,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan menerima laporan kira-kira pukul 6 petang semalam berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori di Kilometer 13.1 Lebuh Rayq Cheras-Kajang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati penunggang motosikal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala Kajang sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.
“Dalam masa sama, sebuah lori yang sedang bergerak lurus dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa yang berada di atas jalan.
“Mangsa lelaki tempatan berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala sehingga kini, pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post ‘Mula-mula nak marah, tapi terus luluh bila tahu anaknya kemalangan’ appeared first on Kosmo Online.






