Mulpha International melabur RM28.28 juta dalam dana global, SHK Latitude Alpha Fund

Business & Finance
2 Sep 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mulpha International melabur RM28.28 juta dalam dana global, SHK Latitude Alpha Fund Image from: Mulpha International melabur RM28.28 juta dalam dana global, SHK Latitude Alpha Fund amree02/09/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 SeptMulpha International Berhad melalui anak syarikat milik tidak langsungnya, Mulpha Strategic Limited (MSL), melabur AS$7 juta (RM28.28 juta) dalam SHK Latitude Alpha Fund.

 

Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, dana global berkenaan merekodkan anggaran prestasi 8.7% setakat 31 Julai 2026 dengan pelaburan tersebut diselesaikan pada 1 September 2026.

 

Langkah itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman , sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengoptimumkan lebihan tunai dan meningkatkan pulangan pelaburan berasaskan risiko.

 

"Latitude merupakan dana antarabangsa yang melabur dalam beberapa skim dana lindung nilai, dengan sasaran mengekalkan modal serta menjana pulangan dua digit ketika pasaran normal," jelas Mulpha.

 

Pelaburan tersebut ujarnya, dilaksanakan dalam kelas unit dikenali sebagai 'Class A3', dengan penebusan pelaburan boleh dibuat secara suku tahunan dan penyelesaian transaksi dilakukan secara tunai.

 

Selain itu, usaha ini merupakan sebahagian daripada portfolio pelaburan lebih luas kumpulan, selain penggunaan sebahagian terhad dana lebihan bagi meningkatkan pulangan pelaburan berasaskan risiko.

 

Tambah Mulpha, jumlah pelaburan dianggap sesuai berdasarkan sasaran kecairan semasa kumpulan namun mengakui pelaburan dalam Latitude terdedah kepada risiko pasaran dan prestasi pelaburan semasa.

 

Mulpha_DagangNews2026

 

"Keadaan berkenaan susulan pelbagai faktor termasuk situasi turun naik pasaran kewangan global, perubahan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), keadaan kredit dan masalah ekonomi makro," katanya.

 

Justeru, sebagai dana yang melabur dalam dana lindung nilai, prestasi Latitude turut bergantung kepada strategi pelaburan, pembinaan portfolio dan amalan pengurusan risiko pengurus dana asas.

 

Kata Mulpha, penebusan suku tahunan turut mendedahkan MSL kepada risiko kecairan dan menjelaskan tiada liabiliti, termasuk luar jangka atau jaminan, yang perlu ditanggung susulan pelaburan itu.

 

Transaksi itu diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan kerana Pengerusi Eksekutif kumpulan tersebut dan Latitude, Lee Seng Huang merupakan pemegang saham utama Mulpha sendiri.

 

"Justeru, beliau tidak terlibat dalam pengundian Lembaga Pengarah, manakala Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko MIB berpandangan pelaburan itu berdasarkan terma komersial biasa," tambahnya.

 

Pada masa sama, pelaburan tersebut dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Bagaimanapun usaha itu dijangka menyumbang kepada pendapatan masa depan bergantung kepada prestasi dana asas, dengan nisbah peratusan tertinggi ialah kira-kira 0.76%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved