PHB tambah 400 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera, jumlah keseluruhan dana kini 5.4 bilion unit

2 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PHB tambah 400 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera, jumlah keseluruhan dana kini 5.4 bilion unit Image from: PHB tambah 400 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera, jumlah keseluruhan dana kini 5.4 bilion unit amree02/09/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 SeptPelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan penambahan 400 juta unit baharu Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), menjadikan jumlah keseluruhan dana mencecah 5.4 bilion unit.

 

Ia merupakan tambahan kali keenam sejak AHB diperkenalkan pada 2010 dengan saiz dana permulaan satu bilion unit, dan mencerminkan komitmen PHB memperluaskan pemilikan hartanah masyarakat Bumiputera.

 

Pada masa sama menurut kenyataan PHB, penambahan dana tersebut membuka lebih banyak peluang kepada pelabur Bumiputera memiliki kepentingan benefisial dalam aset hartanah komersial berkualiti.

 

"Penerbitan unit baharu itu turut disokong suntikan nilai daripada dua asetnya, iaitu Hospital Aurelius di Alor Setar, Kedah, dan penilaian semula bangunan logistik Maersk di Shah Alam, Selangor," katanya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata, langkah itu selaras aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) untuk memperkukuh pegangan Bumiputera.

 

Katanya, sebagai penaja AHB, PHB terus menyediakan peluang pelaburan yang membolehkan masyarakat Bumiputera membina dan mengembangkan kekayaan melalui pemilikan hartanah komersial berkualiti.

 

AHB merupakan dana unit amanah patuh Syariah berasaskan hartanah pertama di Malaysia yang disokong portfolio hartanah komersial utama dengan menawarkan pulangan mampan kepada pemegang unit.

 

PHB Mazuki Abdullah
MAZUKI ABDULLAH

 

"Pelabur Bumiputera berpeluang memiliki pegangan benefisial dalam hartanah komersial strategik menerusi pembelian unit amanah, tanpa perlu memiliki aset hartanah itu secara langsung," jelasnya.

 

PHB menggalakkan masyarakat Bumiputera memanfaatkan penambahan unit itu sebagai peluang membudayakan amalan menabung bagi kesejahteraan kewangan serta perancangan jangka panjang.

 

Ujar Mazuki, unit AHB boleh dilanggan di cawangan pengedar sah di seluruh negara, termasuk Maybank, AmBank, AmBank Islamic, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHB Asset Management Berhad (PHBAM), Zulkifli Ishak berkata, pihaknya akan melancarkan Kempen Simpan, Labur dan Menang yang bermula 1 Oktober 2026.

 

"Usaha ini bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memulakan atau meningkatkan pelaburan dalam AHB, dengan kempen berkenaan menawarkan pelbagai hadiah kepada pelabur yang layak dan bertuah," katanya.

 

Tambah beliau, pelaburan minimum AHB hanya ditetapkan sebanyak RM100 manakala had maksimum RM1 juta bagi setiap individu. Dana AHB diuruskan oleh PHBAM selaku pengurus skim dana berkenaan.

 

PHB yang ditubuhkan pada Mei 2006 merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan hartanah dan juga anak syarikat kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved