‘Mummy sampai ke titik terakhir buat kebaikan...’ – Nurul Natasya derma tiga organ, anak 12 tahun iring ibu buat kali terakhir

24 Nov 2026 • 1:45 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Mummy sampai ke titik terakhir buat kebaikan...’ – Nurul Natasya derma tiga organ, anak 12 tahun iring ibu buat kali terakhir
Foto: Ihsan Threads carlos.nazir, noraziera__

PEMERGIAN mulia seorang wanita, Nurul Natasya Ahmat Jaafar, bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga, malah turut menyentuh hati ramai apabila organ tubuhnya didermakan bagi membantu insan lain meneruskan kehidupan.

Allahyarham yang berusia 36 tahun terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada Khamis lalu disahkan mengalami kematian otak.

Lebih menyentuh hati, wanita berkenaan meninggalkan seorang cahaya mata lelaki berusia 12 tahun.

Menerusi perkongsian adik ipar, Allahyarham Nurul Natasya mengalami pendarahan otak akibat kemalangan berkenaan sebelum dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

Image from: ‘Mummy sampai ke titik terakhir buat kebaikan...’ – Nurul Natasya derma tiga organ, anak 12 tahun iring ibu buat kali terakhir
Foto: Tangkap layar video Hospital Sultanah Aminah

"Hanya selepas disahkan kematian otak baharu keluarga membuat keputusan (untuk mendermakan organ)," katanya kepada SinarPlus.

Antara organ yang didermakan ialah jantung, buah pinggang dan hatinya.

Lebih meruntun hati, adik iparnya turut meluahkan rasa sebak ketika menyaksikan detik penghormatan terakhir buat Nurul Natasya menerusi Walk of Honor.

Dia menerusi hantaran di Threads menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar selain tersentuh melihat anak lelaki wanita itu mengiringi jenazah ibu tercinta buat kali terakhir.

“Sedihnya ya ALLAH tengok momen macam ini. Syurga untuk Kak Tasya. Al-Fatihah untuk dia, sedekahkan al-Fatihah.

Image from: ‘Mummy sampai ke titik terakhir buat kebaikan...’ – Nurul Natasya derma tiga organ, anak 12 tahun iring ibu buat kali terakhir
Foto: Tangkap layar video Hospital Sultanah Aminah

“Sedihnya tengok Aqil iring mummy dia for the last time.

“Aqil, mummy you orang baik. Mummy you sampai ke titik terakhir pun masih membuat kebaikan,” luahnya.

Luahan tersebut mengundang rasa sebak apabila pengorbanan terakhir Allahyarhamah bukan sahaja menjadi kenangan buat keluarga, malah memberi sinar harapan kepada pesakit yang memerlukan pemindahan organ.

Dalam perkembangan berkaitan, HSAJB turut memberikan penghormatan terakhir menerusi Walk of Honor bagi menghargai pengorbanan Nurul Natasya.

Image from: ‘Mummy sampai ke titik terakhir buat kebaikan...’ – Nurul Natasya derma tiga organ, anak 12 tahun iring ibu buat kali terakhir
Foto: Ihsan Threads @carlos.nazir

“Setiap pendermaan organ membawa seribu makna kepada mereka yang menantikan peluang untuk meneruskan kehidupan.

“Di sebalik setiap sumbangan, tersimpan nilai keikhlasan, kasih sayang dan keprihatinan yang tidak ternilai.

“Semoga pengorbanan ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama menyokong usaha murni pendermaan organ,” kongsi hospital berkenaan.

Tambah HSAJB, seluruh warga hospital merakamkan penghargaan dan penghormatan atas keikhlasan Allahyarhamah.

“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan keampunan ke atas Allahyarhamah serta menempatkan beliau bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Difahamkan, jenazah Nurul Natasya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cahaya Baru, Masa pada petang Isnin.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved