Mural baharu raikan hubungan Australia-Sabah

15 Aug 2026 • 5:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Mural baharu raikan hubungan Australia-Sabah

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia melancarkan mural awam baharu di tengah-tengah Kota Kinabalu bagi meraikan hubungan persahabatan, sejarah bersama dan hubungan antara rakyat Australia dan Sabah yang terjalin sejak beberapa dekad lalu.

Mural “Remembering Australia Place” yang terletak di Wisma Intiutama di lokasi yang dikenali secara tidak rasmi sebagai “Australia Place” itu dilancarkan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke bersama Mayor Datuk Seri Dr Sabin Samitah, pemimpin masyarakat dan alumni universiti Australia.

Direka dan dilukis oleh organisasi seni komuniti tempatan Pillars of Sabah, mural itu menghimpunkan kisah persahabatan, ketabahan, kerjasama dan hubungan antara rakyat Australia dan Malaysia, selain mengetengahkan sumbangan rakyat Australia dalam pembinaan semula Jesselton selepas Perang Dunia Kedua.

Heinecke berkata, mural berkenaan mengisahkan rakyat Australia dan Sabah yang bersama-sama sebagai sahabat dan rakan selama beberapa dekad, dengan hubungan itu melangkaui kerjasama rasmi kepada persahabatan individu, pertukaran budaya dan perkongsian komuniti.

“Karya seni ini merakam kisah individu yang kehidupannya menghubungkan kedua-dua negara kita dan menjadi peringatan berpanjangan mengenai hubungan kukuh yang terus membentuk kerjasama kita hari ini,” katanya.

Beliau berkata, karya itu amat signifikan kerana Lorong Dewan dipercayai menjadi lokasi anggota Australia menginap ketika bekerjasama dengan rakyat Sabah dalam usaha pembinaan semula selepas perang, sambil menambah sejarah berkenaan memberi inspirasi kepada pengasas bersama Pillars of Sabah, Jared Abdul Rahman untuk membangunkan konsep mural itu.

Projek berkenaan turut membabitkan guru dan pelajar SMK Sanzac, sebuah sekolah yang diasaskan anggota perkhidmatan Australia dan New Zealand pada 1960-an, sekali gus menghubungkan generasi muda dengan hubungan Australia-Sabah yang telah lama terjalin.

Disiapkan dalam tempoh dua minggu, mural itu mempunyai hubungan peribadi dengan kedua-dua negara menerusi Jared, yang bapanya dari Sabah mempelajari kejuruteraan awam di Tasmania melalui Colombo Plan sebelum bertemu ibunya dari Tasmania dan kembali ke Malaysia.

Bapanya kemudian berkhidmat sebagai jurutera perunding yang terlibat dalam Wisma Intiutama, lokasi mural itu dipamerkan, sekali gus mewujudkan hubungan langsung antara pertukaran pendidikan berkaitan Australia pada masa lalu, bangunan itu sendiri dan karya seni kontemporari berkenaan.

“Saya amat berbesar hati menerima sokongan Suruhanjaya Tinggi Australia dalam merealisasikan karya seni yang meraikan kedua-dua bahagian warisan budaya saya,” katanya, sambil menambah projek itu menghimpunkan pelbagai generasi masyarakat Kota Kinabalu, khususnya guru dan pelajar SMK Sanzac, untuk menghayati hubungan Sabah dengan Australia.

Heinecke berkata, pelancaran mural itu juga bertepatan dengan Hari Sandakan pada 15 Ogos, yang memberikan peluang untuk mengenang sejarah perang bersama antara Australia dan Sabah, termasuk penderitaan dan kehilangan 2,434 tawanan perang yang terkorban dalam Kawad Maut Sandakan.

Beliau berkata, hubungan Australia dengan Sabah berkembang daripada pembinaan semula selepas perang kepada kerjasama kontemporari yang diperkukuh menerusi kenangan, perdamaian dan komitmen bersama untuk menghormati mereka yang berkorban ketika perang.

Pesuruhjaya Tinggi itu turut mengetengahkan bidang kerjasama Australia-Sabah ketika ini, termasuk kerja-kerja membaik pulih SK Babagon Toki berhampiran Kota Kinabalu oleh jurutera Tentera Darat Australia serta lawatan kapal Tentera Laut Diraja Australia HMAS Choules yang dijadualkan bagi menyumbang kepada projek pembaikan berkenaan.

Selain hubungan pertahanan, beliau mengetengahkan pendidikan, pelancongan, perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya sebagai tonggak penting hubungan Australia-Malaysia yang lebih luas, khususnya sumbangan rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di Australia dan pulang dengan pemahaman serta hubungan lebih kukuh antara kedua-dua negara.

Heinecke turut berharap mural itu menjadi sebahagian daripada itinerari tetap lebih 20,000 pelancong Australia yang mengunjungi Sabah setiap tahun, selain menggesa hubungan udara yang lebih baik antara Sabah dan Australia, termasuk usaha memulihkan penerbangan terus seperti laluan Melbourne-Kota Kinabalu.

Beliau berkata, Australia turut berbesar hati menyokong sektor seni Malaysia, sambil menyatakan bahawa seni awam boleh membantu komuniti memelihara dan menyampaikan kisah mereka, termasuk dengan membaca plak yang disediakan serta mengimbas kod QR di lokasi berkenaan.

“Kami berharap mural ini akan menggalakkan pengunjung dan orang yang lalu-lalang berhenti dan mengetahui lebih lanjut mengenai hubungan sejarah antara Australia dan Kota Kinabalu,” katanya.

Australia dan Malaysia mempunyai hubungan yang telah lama terjalin meliputi kerjasama pertahanan, pendidikan, perdagangan, pelaburan, pelancongan, pertukaran budaya serta hubungan erat antara rakyat, dengan Suruhanjaya Tinggi Australia merakamkan penghargaan kepada DBKK, Majlis Perbandaran Sandakan, rakan komuniti, penggiat seni, keluarga veteran dan pihak lain yang terlibat dalam mural serta acara memperingati sejarah berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved