
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan pentadbiran terhadap seorang pengarah hospital di Sabah susulan siasatan dalaman berhubung dakwaan gangguan seksual.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, individu terbabit telah dipindahkan ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan ditempatkan sebagai pegawai perubatan sementara menunggu tindakan lanjut.
“Secara pentadbiran, KKM sudah menyelesaikan siasatan dalaman. Antara tindakan yang diambil ialah memindahkan pengarah terbabit ke jawatan pegawai perubatan di bahagian perubatan JKN Sabah.
“Mangsa juga diberikan sokongan sepenuhnya dan rawatan psikiatri serta ditempatkan semula dalam persekitaran kerja yang lebih selamat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Latihan KKM (ILKKM) bertempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata laporan rasmi JKNS juga sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut gred pegawai terbabit untuk tindakan selanjutnya berdasarkan bidang kuasa dan autoriti agensi berkenaan.
Pada bulan lalu, isu berkenaan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan daripada Parti Warisan (WARISAN), Chin Teck Ming dan Ketua Biro Kesihatan parti berkenaan, Dr Istefan Koh berhubung dakwaan salah laku terbabit.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun turut mengesahkan bahawa laporan polis berhubung perkara terbabit telah dibuat pada awal tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata tiada satu kementerian sahaja mampu menangani pelbagai cabaran kesihatan dan kesihatan awam termasuk isu kesihatan mental, khususnya dalam kalangan murid sekolah.
Katanya, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEM) kini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani cabaran kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah.
“KPM mengiktiraf komitmen NCEM dalam menangani isu ini secara responsif dan segera, termasuk mengenal pasti trend serta tanda awal, khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
“Golongan ini adalah kumpulan rentan atau berisiko tinggi yang perlu diberikan perhatian,” katanya.
Menurutnya, perbincangan antara NCEM dan KPM turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan segera serta menggerakkan tindak balas pantas terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan kumpulan rentan. – UTUSAN
The post Isu gangguan seksual: Pengarah hospital Sabah dipindah ke JKNS appeared first on Utusan Malaysia.






