KEMAMAN – Seorang murid lelaki Tahun Satu cedera parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan ketika melintas jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Geliga, di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kanak-kanak berusia enam tahun sembilan bulan berkenaan dilaporkan terpaksa ditidurkan bagi membolehkan rawatan diberikan susulan kecederaan serius yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai melintas jalan tanpa menyedari sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang melalui kawasan tersebut.
“Mangsa melintas jalan tanpa menyedari kehadiran sebuah kereta Perodua Myvi sebelum merempuh bahagian sisi kiri kenderaan yang dipandu seorang wanita berusia 40 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian, pemandu wanita itu difahamkan sedang dalam perjalanan menuju ke SK Seri Geliga.
Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut kerana kecederaan parah di bahagian kepala.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





