Murid perempuan meninggal dunia selepas sesak nafas

LocalHealth & Fitness
20 Oct 2026 • 1:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Murid perempuan meninggal dunia selepas sesak nafas
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. Gambar hiasan

SEPANG - Seorang murid perempuan dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah, di sini sebelum disahkan meninggal dunia di hospital pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam, Isnin.

"Mangsa yang berusia tujuh tahun itu diberi bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Katanya, bedah siasat dijalankan di Hospital Putrajaya pada jam 8 pagi, Selasa.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak benar berhubung kejadian berkenaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor T Vishno Kumar di talian 011-11021528," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved