
SEPANG - Doktor mengesyaki makanan, kemungkinan pisang atau ayam, menyebabkan saluran pernafasan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun tersumbat sebelum dia meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas di sekolah.
Bapa mangsa, Mior Shahrizal Mior Zakaria, 48, berkata doktor memaklumkan kemungkinan itu kepadanya, namun punca sebenar kematian anaknya masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata, dia bergegas ke sekolah selepas menerima maklumat bahawa anaknya mengalami kesukaran bernafas.
Sebaik tiba, beliau mendapati anaknya tidak sedarkan diri di koridor tingkat dua sekolah sebelum cuba memberikan bantuan kecemasan, termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Bagaimanapun, dia tidak memberikan sebarang tindak balas.
“Kira-kira 15 minit kemudian, ambulans tiba. Ketika itu, anak saya masih tidak sedarkan diri,” katanya.
Mangsa dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.30 malam Isnin.
Menurutnya, mangsa diberikan bantuan pernafasan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Mior Shahrizal berkata, beliau berhenti kerja pada awal Januari lalu bagi memberikan tumpuan kepada persekolahan anaknya, termasuk menghantar dan menjemputnya setiap hari.
Katanya, anaknya menghadiri sekolah agama pada waktu pagi sebelum ke sekolah kebangsaan pada sebelah petang.
Mengimbas kembali kejadian itu, beliau menyifatkan anaknya sebagai seorang yang aktif, namun mendapati terdapat perubahan pada tingkah lakunya sehari sebelum kejadian.
“Kebiasaannya, apabila pulang dari sekolah agama, dia agak liat untuk mandi. Tetapi semalam, apabila saya menyuruhnya mandi, dia terus bangun dan melakukannya sendiri.
“Dia juga memakai pakaian seragam sekolah dan tudung sendiri tanpa meminta bantuan saya seperti kebiasaannya,” katanya.
Beliau berkata, anaknya sangat rapat dengannya dan sering berkongsi cerita serta mendapatkan bantuan daripadanya apabila menghadapi masalah.
Meskipun kehilangan anak tersayang, Mior Shahrizal berkata, beliau menerima kejadian itu dengan hati yang terbuka. - Getaran, 20 Oktober 2026






