
DENGKIL - Seorang murid perempuan Tahun Satu meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di Dengkil, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita kira-kira jam 7.30 malam semalam.
Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan resusitasi awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di Hospital Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Bedah siasat terhadap mangsa dijalankan di Hospital Putrajaya pada jam 8 pagi tadi.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Norhizam turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Vishno Kumar A/L Tharuma Rethinam, di talian 011-11021528. - Getaran, 20 Oktober 2026






