Murid sekolah dakwa dibuli pelajar senior, empat ditahan bantu siasatan

2 May 2026 • 3:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Murid sekolah dakwa dibuli pelajar senior, empat ditahan bantu siasatan
Dzulkhairi. Foto Bernama

MELAKA - Seorang murid sekolah rendah yang tinggal di sebuah asrama anak yatim didakwa menjadi mangsa buli membabitkan beberapa pelajar senior di asrama berkenaan.

Ibu mangsa tampil membuat laporan polis sekitar jam 7.11 malam, Jumaat lalu selepas dikatakan anaknya telah dipukul, ditendang, selain kepalanya direndam ke dalam baldi berisi air dan turut diseret di lantai tandas oleh pelaku.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah telah menjalankan operasi tangkapan sehari kemudian sekitar jam 3.45 petang.

Menurutnya, seramai empat pelajar lelaki berumur antara 15 hingga 16 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka merupakan pelajar sekolah menengah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing didapati negatif.

“Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dzulkhaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum berkongsi sebarang maklumat di media sosial.