
PETALING JAYA – Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Air Hitam Labu, Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd Firdaus merupakan antara tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Turut terkorban dalam kejadian itu ialah kakak serta bapa kepada Siti Darwisyah Auni.
Perkara itu dimaklumkan SK Air Hitam Labu menerusi ucapan takziah yang dikongsikan di Facebook, hari ini.
“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang murid kita, Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd Firdaus, bersama kakak dan ayahnya telah kembali ke rahmatullah.
“Warga SK Air Hitam Labu merakamkan ucapan takziah yang setulus hati buat seluruh keluarga yang ditinggalkan,” menurut kenyataan itu.
Pihak sekolah turut mendoakan agar Allah mengampuni segala dosa dan kesalahan ketiga-tiga mangsa serta menempatkan roh mereka dalam kalangan orang beriman.
Dalam masa sama, warga sekolah mendoakan keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian berkenaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga sekeluarga iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun maut selepas dirempuh lori JIM dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail kira-kira pukul 1 pagi.
Siasatan awal polis mendapati lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum hilang kawalan dan merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix.
Seorang wanita berusia 55 tahun yang juga isteri kepada mangsa lelaki dan ibu kepada dua mangsa perempuan terselamat namun mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki sebelum dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Murid SK Air Hitam Labu antara tiga beranak maut dirempuh lori Imigresen appeared first on Kosmo Digital.






