Pelajar maut di asrama: Jangan terburu-buru buat spekulasi - KGMMB

27 Sep 2026 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar maut di asrama: Jangan terburu-buru buat spekulasi - KGMMB
Muhammad Idlan Fareeq Shahril ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Seremban dan kemudian disahkan meninggal dunia.

SHAH ALAM - Semua pihak diminta tidak terburu-buru membuat spekulasi, menuding jari atau membuat sebarang kesimpulan berhubung punca kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Dr Mohd Sobri Yusuf berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan semua pihak perlu memberikan ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional.

"KGMMB percaya bahawa kebenaran mesti ditegakkan berdasarkan fakta dan hasil siasatan, bukannya berdasarkan khabar angin atau maklumat yang belum disahkan.

"Namun, sekiranya hasil siasatan mendapati kejadian ini mempunyai kaitan dengan perbuatan buli atau sebarang bentuk salah laku yang menjejaskan keselamatan murid, KGMMB menegaskan tindakan tegas dan sewajarnya wajib diambil terhadap mana-mana pihak terbukti terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan, Muhammad Idlan Fareeq Shahril ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Seremban dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Susulan itu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut, Mohd Sobri berkata, kejadian berkenaan turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa khususnya mereka yang mempunyai anak di sekolah berasrama.

Menurutnya, ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dengan penuh kepercayaan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.

"Sekiranya tindakan yang telus, menyeluruh dan berasaskan fakta tidak diambil, keadaan ini berpotensi menimbulkan kebimbangan yang lebih besar dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat," ujarnya.

Tambah beliau, KGMMB tidak mahu ibu bapa terus tertanya-tanya dan hidup dalam kebimbangan mengenai keselamatan anak-anak mereka termasuk memikirkan siapa pula yang mungkin berdepan kejadian seumpama itu selepas ini.

Dalam pada itu, Mohd Sobri turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang bertindak pantas menziarahi keluarga Allahyarham sejurus menerima perkhabaran mengenai kejadian tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved