Murid Tahun Tiga trauma dakwa dibuli rakan

22 May 2026 • 7:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Murid Tahun Tiga trauma dakwa dibuli rakan
Ibu mangsa menunjukkan kecederaan yang dialami anaknya disyaki akibat dibuli.

JITRA - Seorang murid Tahun Tiga dilaporkan trauma setelah mengalami retak tulang tangan, lebam pipi dan mata disyaki akibat kes buli di sebuah sekolah, di sini.

Ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin mendedahkan ketiga-tiga kecederaan membabitkan tiga murid berlainan dan kejadian berbeza sejak tahun lalu.

Dakwanya, kejadian dilaporkan berlaku pada 17 Mei tahun lalu, 26 Mac dan 17 Mei tahun ini.

"Bukan sekali tetapi tiga kali dalam tempoh setahun anak menjadi mangsa buli di sekolah malah kecederaan yang dialami serius sehingga retak tulang tangan, lebam pipi dan mata.

"Kejadian berulang itu menyebabkan anak trauma dan takut untuk kembali ke sekolah sehingga mengambil keputusan untuk memindahkannya ke sekolah lain," katanya.

Menurutnya, insiden pertama berlaku pada 17 Mei tahun lalu apabila anaknya mengadu ditolak sehingga terjatuh.

Bagaimanapun, katanya sebaik pemeriksaan doktor di sebuah hospital swasta mengesahkan terdapat keretakan pada lengan kanan.

Fatin berkata, kejadian kedua pula berlaku sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu apabila anaknya didakwa ditampar sehingga mengalami lebam pada bahagian pipi dan mata.

"Pelaku yang menampar anak saya telah mengaku kata dia tampar dua kali pada hari yang berbeza, anak saya pun cakap ada hari pertama hari kedua, cuma pada waktu itu kesan tak begitu teruk nampak hanya luka dan kita cuti raya seminggu...kesan yang teruk ini berlaku pada seminggu cuti hari raya jadi anak saya mengalami tekanan emosi nak raya pakai baju raya dengan pipi kesan lebam dekat mata.

"Semua orang datang raya tanya...macam mana perasaan sebagai ibu kita sedih ramai orang tanya kenapa tak ambil tindakan semua, kami serah kepada pihak sekolah tapi...," katanya.

Jelasnya, insiden terbaharu berlaku apabila seorang murid didakwa menyucuk mata anaknya menggunakan pensel sehingga menyebabkan kecederaan di bawah mata.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, susulan itu, dia dan suami dipanggil menghadiri satu majlis muafakat pada 18 Mei, namun kecewa dengan hasil perbincangan tersebut kerana anaknya turut dipersalahkan dalam kejadian itu sedangkan mangsa tidak bertindak balas langsung.

"Saya rasa kecewa dan terkilan sebab kes ini serius dan saya rasa pihak sekolah gagal mendapat kepercayaan saya untuk hantar anak ke sekolah sebab isu keselamatan ni lah sudah tiga kali berulang dalam masa setahun tiga kali anak saya kena," katanya.

Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim ketika dihubungi mengsahkan menerima laporan kejadian.