Meta sebelum ini telah memperkenalkan Muse sebagai agen peribadi pintar. Melalui kemas kini terkini, Muse mula diintegrasikan ke dalam Spotify.
Kehadiran Muse ini menjadikan kawalan audio lebih mudah kerana pengguna boleh memainkan lagu, mendengar podcast atau buku audio hanya dengan arahan suara tanpa perlu membuka aplikasi secara manual. Integrasi ini bukan sekadar memudahkan akses tetapi menandakan langkah Spotify ke arah ekosistem audio yang lebih pintar.

Selain memainkan lagu, Muse turut berfungsi menyimpan lagu ke dalam pustaka, membina senarai main baharu serta membantu pengguna mencari kandungan malar segar. Lebih menarik, ia juga boleh menjadualkan pengalaman audio mengikut rutin harian.
Sebagai contoh, Muse mampu memastikan senarai main senaman dimainkan setiap pagi jam 7 atau mengaktifkan senarai fokus ketika waktu bekerja. Fungsi kreatif turut tersedia, di mana Muse boleh menghasilkan Podcast Peribadi daripada nota harian atau ringkasan sebelum disimpan terus ke dalam pustaka Spotify.

Buat masa ini, Muse hanya tersedia di pasaran terpilih iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Ia hadir dengan avatar comel yang boleh diubah suai, berfungsi dalam aplikasi di bawah payung Meta seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Threads serta ditawarkan secara percuma.
Fungsi ini dijangka akan diperluaskan ke lebih banyak negara dan rantau pada masa akan datang.
Sumber : Spotify




