Program realiti popular, Talk To My Manager (TTMM), kembali dengan musim kedua susulan sambutan hangat daripada penonton, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kandungan hiburan tempatan yang semakin mendapat perhatian.

Musim baharu ini bukan sahaja meneruskan format pertandingan yang menggabungkan elemen cabaran dan persembahan, malah turut memperluaskan inisiatifnya dengan memperkenalkan sebuah kem latihan khas bagi mencungkil bakat generasi baharu dalam industri hiburan.
Dijadualkan bersiaran mulai 19 April 2026 pada jam 9 malam di Astro Ria, musim kedua ini tampil dengan penyertaan lebih ramai selebriti serta gandingan bersama anak-anak mereka yang berbakat.
Konsep pass-the-baton yang menjadi tunjang program ini kembali diketengahkan, memperlihatkan hubungan unik antara selebriti sebagai 'manager' dan anak mereka sebagai ‘artis’ di pentas.

Setiap persembahan bukan sekadar hiburan, tetapi turut menguji tahap bimbingan, kepercayaan dan keserasian antara kedua-dua generasi, sekali gus menonjolkan nilai kekeluargaan yang menjadi daya tarikan utama rancangan ini.
Barisan peserta musim ini menghimpunkan pelbagai nama terkenal bersama anak masing-masing iaitu Adira dan Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, Datuk A. Aida dan Azeva, Datuk Fazley bersama Fariedz Fazley, Datuk Seri Vida dan Cik B, Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Pak Azad dan Amarra, serta Safura dan Kim Khairii.

Kehadiran gandingan ini dijangka membawa pelbagai kisah menarik yang menyentuh emosi di samping menghiburkan penonton.
Program ini turut mengekalkan Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara, manakala barisan juri terdiri daripada Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal yang akan menilai persembahan berdasarkan kecekapan pengurusan, kreativiti strategi serta kualiti vokal dan keunikan persembahan.

Sistem pemarkahan kekal menggunakan penilaian penuh oleh juri profesional, dengan pembahagian markah antara aspek pengurusan dan persembahan, selain sokongan undian dalam talian yang memberi kelebihan kepada peserta pada minggu berikutnya.
Dalam masa yang sama, Astro turut memperkenalkan ‘TTMM Experience’, sebuah kem eksklusif selama dua hari satu malam yang membuka peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk merasai pengalaman sebenar dalam dunia hiburan.
Kem ini menawarkan latihan dan bengkel yang sebelum ini hanya diberikan kepada peserta program realiti, kini dibuka kepada orang ramai.

Sepanjang program tersebut, peserta akan dibimbing oleh selebriti, mentor profesional dan pakar industri melalui pelbagai aktiviti interaktif yang memfokuskan kepada kemahiran persembahan, nyanyian dan pembinaan keyakinan diri.
Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam melahirkan bakat baharu serta memberi pendedahan awal kepada generasi muda yang berminat dalam industri hiburan.
Dengan gabungan elemen pertandingan, nilai kekeluargaan dan pembangunan bakat, Talk To My Manager musim kedua dijangka terus mencuri perhatian penonton serta menjadi platform penting dalam mencungkil bintang masa hadapan. - Getaran, 6 April 2026

![Talk to My Manager 2 [LIVE] – Markah Keputusan Minggu 8](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2026/04/talk-to-my-manager-2-3-1024x683.jpg)
