Musim perayaan, cuti sekolah pacu prestasi Pavilion-REIT pada 4Q26, kata penganalisis

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 10:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Musim perayaan, cuti sekolah pacu prestasi Pavilion-REIT pada 4Q26, kata penganalisis Image from: Musim perayaan, cuti sekolah pacu prestasi Pavilion-REIT pada 4Q26, kata penganalisis hamden27/10/2026 - 10:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion-REIT) dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada suku keempat berakhir 31 Disember 2026 (4Q26) didorong musim perayaan hujung tahun, menurut penganalisis pasaran.

 

Selain itu, peningkatan kunjungan pengunjung ketika cuti sekolah serta sumbangan stabil daripada hotel di bawah perjanjian pajakan induknya turut membantu prestasi REIT berkenaan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, Pavilion-REIT merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM92.9 juta pada suku ketiga 2026 (3Q26), meningkat 4.3% berbanding suku sebelumnya tetapi susut 1.8% tahun ke tahun.

 

Prestasi itu menjadikan keuntungan bersih teras bagi tempoh sembilan bulan 2026 berjumlah RM287.7 juta, bersamaan 70.1% daripada unjuran keuntungan setahun penuh HLIB Research dan 71.8% daripada konsensus pasaran.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prestasi berkenaan sedikit di bawah jangkaan, sebahagian besarnya berikutan hasil lebih rendah daripada jangkaan di Pavilion KL Mall dan Elite Pavilion Mall susulan pendapatan pengiklanan yang lebih lemah.

 

Dalam perkembangan operasi, kerja penyusunan semula ruang seluas 68,800 kaki persegi yang dikosongkan Parkson di Pavilion KL Mall kepada 37 lot khusus masih berjalan mengikut jadual.

 

HLIB berkata, kira-kira 80% daripada ruang berkenaan sudah mendapat komitmen penyewa, meningkat daripada lebih 50% sebelum ini, dengan penyewa dijangka mula beroperasi secara berperingkat mulai November 2026.

 

Pengisian ruang Pavilion Bukit Jalil dan kenaikan kadar sewa

Bagaimanapun, pembukaan secara berperingkat itu bermakna sebahagian besar sumbangan pendapatan daripada ruang berkenaan hanya dijangka direalisasikan pada tahun kewangan 2027 (FY27), apabila kadar penghunian dijangka pulih kepada sekitar 96%.

 

Sementara itu, kadar penghunian Pavilion Bukit Jalil dijangka pulih secara beransur-ansur kepada 95% selepas mencatat sedikit penurunan pada 3Q26.

 

Menjelang FY27, beberapa pusat beli-belah di bawah Pavilion-REIT akan berdepan pajakan yang tamat tempoh, dengan Pavilion Bukit Jalil mencatat bahagian terbesar, diikuti Intermark sebanyak 34%, Elite Pavilion (21%) dan Pavilion KL (20%).

 

HLIB Research berkata, panduan kenaikan kadar sewa ketika pembaharuan pajakan kekal pada paras pertengahan satu digit.

 

Perbincangan pembaharuan pajakan di Pavilion Bukit Jalil juga sudah bermula, dengan kadar sewa dijangka mencatat perubahan positif.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan “beli” terhadap Pavilion-REIT dengan harga sasaran RM1.91 seunit.

 

Perancangan tambahan

Dalam perkembangan berasingan, AmInvestment Bank (AmInvest) Research turut melihat potensi kenaikan selanjutnya bagi REIT berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerja penyusunan semula ruang Parkson di tingkat tiga Pavilion KL Mall masih mengikut jadual, dengan pembukaan secara berperingkat dijadual bermula November 2026.

 

Selepas kerja berkenaan selesai, kadar sewa dijangka meningkat dua kali ganda, manakala kadar penghunian diunjurkan pulih daripada paras semasa 93% kepada tahap sebelum kerja pengubahsuaian, iaitu antara 96% hingga 97%.

 

Bagaimanapun, AmInvest berkata, terdapat perancangan tambahan untuk memperuntukkan 2% lagi daripada keluasan boleh sewa bersih bagi penyusunan semula penyewa mulai 2027 dan seterusnya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan menyatakan bahawa harga unit Pavilion-REIT masih belum pulih meskipun hasil bon Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun susut kepada kurang daripada 4%.

 

“Kami percaya kebimbangan mengenai kadar faedah sebahagian besarnya sudah diambil kira dalam harga pasaran, dengan REIT ini menawarkan hasil agihan sebanyak 7% serta jurang pulangan yang luas sebanyak 3.1 mata peratusan berbanding MGS,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved