Musim Tengkujuh Landa Negara Bermula Minggu Depan

4 Nov 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Musim tengkujuh lebih awal daripada jangkaan, iaitu bermula pada 7 November ini dan berterusan hingga Mac depan. - Gambar Sairien Nafis

KUALA LUMPUR – Negara akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada jangkaan asal, iaitu bermula pada 7 November ini dan berterusan hingga Mac depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu, empat hingga enam episod luruan monsun membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku.

“Seperti musim lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat,” katanya menerusi kenyataan.

image is not available

Menurut MetMalaysia, kejadian air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh 6 hingga 11 dan 22 hingga 27 November ini.

“(Ia juga) dijangka berlaku dalam tempoh 7 hingga 12 dan 22 hingga 26 Disember, selain 6 hingga 10 dan 21 hingga 25 Januari depan,” menurutnya.

Pada masa sama, MetMalaysia memaklumkan, semasa MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia melalui medium sebaran rasmi, iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial MetMalaysia (Facebook, Twitter dan Instagram).

“Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – Getaran, 4 November 2022