
Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud mahu mempercepat perbincangan mengenai penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata perbincangan awal telah diadakan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beliau akan mengadakan perbincangan seterusnya dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bagi meneliti penubuhan jawatankuasa yang melibatkan agensi berkaitan serta wakil kerajaan Sabah dan Persekutuan.
“Tidak perlu menunggu mesyuarat seterusnya jawatankuasa teknikal yang memantau pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang dijangka hanya diadakan tahun depan,” katanya, menambah beliau akan mendapatkan persetujuan untuk mengadakan perbincangan awal sebelum membentangkan perkara itu kepada jawatankuasa teknikal berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui proses itu mungkin sukar diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang kerana memerlukan kajian dan bancian, manakala SPR juga sedang sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya negeri Melaka.
“Walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum kali ini, saya percaya kita boleh bersedia untuk pilihan raya seterusnya,” katanya.
Mustapha mengulangi bahawa pemecahan kawasan Parlimen Sepanggar merupakan sasarannya, sambil menyatakan kawasan itu mempunyai antara jumlah pengundi tertinggi di Sabah.






