Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion
Anwar yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani meningkatkan kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak sebanyak tiga kali dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran tersebut bakal dilunaskan sebelum hujung tahun di samping rundingan bersama Sabah dan Sarawak diteruskan untuk memuktamadkan formula tahunan yang adil serta mampan.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, selama puluhan tahun Pemberian Khas tidak seiring dengan keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak.

Justeru, Anwar menegaskan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dilihat sebagai sebahagian daripada Waad Nasional, iaitu tanggungjawab yang dijawab secara nasional.

"Sebanyak 12 perkara MA63 telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan Madani, antaranya wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam LHDN. Selain itu, Pelabuhan Bintulu diserahkan dan menjadi pelabuhan milik Sarawak.

"MASWings diserah kepada Sarawak menjadi AirBorneo, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM209 juta sebagai subsidi yang memanfaatkan 820,000 penumpang di pedalaman.

"Seterusnya, kuasa kawal selia elektrik diserahkan kepada Sabah, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Anwar turut menambah, peruntukan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak pada 2027 kekal yang berada pada paras tertinggi.

Menurutnya, Sabah menerima RM18.7 bilion ketimbang RM17.6 bilion pada 2026 manakala Sarawak memperoleh RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun sama.

Jelas Anwar lagi, kerajaan juga bersetuju untuk menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.

"Ini bermakna seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun," ujar Ahli Parlimen Tambun itu lagi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved