
Tuaran: Penubuhan Muzium Mini Hakka di Tuaran bakal menjadi wadah penting dalam memelihara khazanah sejarah, mendokumentasikan warisan budaya serta mengangkat martabat masyarakat Hakka di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penubuhan muzium itu merupakan inisiatif signifikan dan bertepatan pada masanya dalam memastikan warisan masyarakat Hakka terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Beliau berkata, muzium itu berpotensi menjadi pusat rujukan yang menghimpunkan pelbagai tinggalan sejarah dan warisan budaya masyarakat Hakka, termasuk rakaman bahasa, sejarah serta busana tradisional tarian unicorn.
“Selain itu, muzium berkenaan turut menampilkan resipi warisan dan kisah di sebalik keunikan hidangan tradisional masyarakat Hakka.
“Penubuhan muzium ini bukan sekadar bertujuan memelihara khazanah sejarah untuk tatapan generasi akan datang, tetapi juga menjadi jambatan yang menghubungkan warisan silam dengan aspirasi masa depan.
“Ia sekali gus membuka ruang kepada generasi muda dan pengunjung untuk mengenali, memahami serta menghargai sumbangan masyarakat Hakka dalam pembentukan sejarah dan identiti Sabah,” katanya.
Ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, sempena perasmian bangunan baharu Persatuan Hakka Daerah Tuaran dan Muzium Mini Hakka di sini, Jumaat.
Menurut Hajiji, masyarakat Hakka yang hadir di Sabah seawal 1883 memainkan peranan penting dalam membentuk landskap sosioekonomi negeri, memperkaya warisan budaya serta menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Sabah.
“Usaha memartabatkan warisan pelbagai kaum bukan sahaja penting untuk mengekalkan identiti masing-masing, malah mampu memperkukuh semangat saling menghormati, persefahaman dan perpaduan dalam masyarakat majmuk.
“Sesungguhnya, kepelbagaian budaya merupakan kekayaan yang harus kita pelihara, manakala perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan yang mesti terus kita pertahankan demi masa depan Sabah yang aman, harmoni dan makmur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat dalam pembangunan komuniti, sambil menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, pertubuhan masyarakat, sektor swasta dan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus terlaksana.


