
SEPANG, 7 Okt (Bernama) — Presiden Myanmar Min Aung Hlaing tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi dua hari, dengan isu penghantaran pulang rakyat Myanmar di Malaysia antara perkara utama yang dijangka dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesawat khas yang membawa Min bersama delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.30 tengah hari.
Sejurus tiba, beliau diberikan sambutan Kawalan Kehormatan Statik oleh dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapt Muhammad Ikhwan Adlan Jamaludin.
Menyambut ketibaan pemimpin Myanmar itu di lapangan terbang berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku menteri pengiring.
Turut hadir menyambut ketibaan Presiden Myanmar dan delegasinya ialah Ketua Protokol Kerajaan Malaysia Datuk Rozainor Ramli serta Kuasa Usaha Malaysia ke Myanmar Johan Ariff Abdul Razak.
Pada Khamis, Min akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar, diikuti jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan Perdana Menteri.
Wisma Putra memaklumkan lawatan itu turut memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan libat urus secara langsung dengan Myanmar, selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada Mei 2026 untuk meneruskan pendekatan konstruktif dan berprinsip terhadap Myanmar.
Menurut Wisma Putra, Myanmar merupakan sebahagian penting daripada ASEAN dan sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia akan terus menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan dan perdamaian serta memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan di Myanmar.
Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
The post Presiden Myanmar Tiba Di Malaysia, Isu Penghantaran Pulang Antara Agenda Utama appeared first on The Malaysian Update.



