
KUALA LUMPUR – Inisiatif MyBakat Veteran menyasarkan lebih 15,000 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat manfaat menjelang 2030 menerusi persediaan kerjaya, pembangunan kemahiran dan sokongan penempatan pekerjaan berdasarkan keperluan industri.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkukuh peluang kerjaya kedua anggota ATM selepas bersara.
Menurut beliau, kerjasama yang diselaraskan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu bertujuan membentuk ekosistem peralihan kerjaya veteran ATM yang lebih bersepadu dengan menghubungkan kemahiran ketenteraan kepada keperluan industri dan peluang pekerjaan awam.
Katanya, usaha itu penting memandangkan sebahagian besar anggota ATM, khususnya anggota lain-lain pangkat, bersara sekitar usia 41 tahun dan berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan dengan kelayakan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pada umur 41 tahun, umur masih muda, anak-anak masih kecil, nak bangunkan keluarga dengan kos hidup yang tinggi. Pada akhirnya, mereka menjadi golongan yang berpotensi untuk menjadi atau masuk ke lembah kemiskinan.
“Kita mesti elak perkara ini daripada dihadapi oleh anggota-anggota tentera,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama KESUMA dengan MINDEF serta Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran di bawah Inisiatif MyBakat Veteran di sini kelmarin.
Mohamed Khaled berkata, MINDEF turut menjangkakan kira-kira 3,000 anggota yang bersara setiap tahun layak menerima pengiktirafan kemahiran menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 atau Tahap 4, tertakluk kepada penilaian dan syarat kelayakan.
Jelasnya, pengiktirafan itu membolehkan kemahiran yang dibina sepanjang tempoh perkhidmatan ketenteraan dinilai secara rasmi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran anggota apabila memasuki sektor pekerjaan awam.
“Kalau dia pergi ke industri, walaupun dia ada kemahiran, tak ada sijil yang diiktiraf, industri tak nak ambil dia. Industri hanya iktiraf SPM yang dia ada.
“Jadi kita betulkan semua ini dan apabila dia bekerja umur 41, dia bantu negara. Sebab usia 41 terdiri dalam golongan yang masih produktif dan perlu menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) akan memetakan tugas, kursus dan pengalaman kerja anggota ATM kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi menentukan pensijilan yang bersesuaian, termasuk dalam bidang mekanikal, penyelenggaraan kenderaan, kejuruteraan dan teknikal.
Katanya, pelaksanaan rintis Laluan Pengiktirafan Kemahiran melibatkan Kor Infantri, Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan), dengan penilaian dibuat berdasarkan kompetensi serta pengalaman kerja.
Pelaksanaan MyBakat Veteran turut melibatkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), HRD Corp dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dalam bidang latihan peralihan, pembangunan kemahiran serta sokongan penempatan pekerjaan. -KOSMO! ONLINE
The post MyBakat Veteran sasar 15,000 anggota ATM menjelang 2030 appeared first on Kosmo Online.





