Mydin tampil konsep baharu

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mydin tampil konsep baharu
Ameer (kanan) menerima Anugerah Khas Juri yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Image from: Mydin tampil konsep baharu
Ameer menerima Anugerah Hypermarket Pilihan Rakyat yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin sempena Malam Bisnes Sinar Awards 2026.
Image from: Mydin tampil konsep baharu
Ameer (kiri) bergambar bersama tetamu yang hadir.
Image from: Mydin tampil konsep baharu
Ameer (tengah) bersama tetamu yang hadir pada Malam Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026.
Image from: Mydin tampil konsep baharu
Steven Sim (hadapan, tengah), Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kanan) dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli (dua dari kiri) bergambar bersama penerima anugerah pada Malam Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

Rangkaian peruncit dan pemborong halal terbesar negara, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) bakal membuka kira-kira 20 cawangan baharu tahun ini menerusi konsep lebih kecil dan dekat dengan kawasan perumahan.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, langkah tersebut selari dengan perubahan trend pengguna yang kini lebih mementingkan faktor kemudahan, kecekapan dan lokasi berhampiran rumah.

“Mydin terkenal sebagai hypermarket, pada tahun ini kita akan tampil dengan konsep sedikit berbeza menerusi pembukaan cawangan bersaiz enam, lapan atau 10 pintu kedai sahaja.

“Cawangan itu bukan mini market atau hypermarket, sebaliknya lebih kepada konsep supermarket,” katanya kepada Sinar Harian.

**media[3525486]**

Menurut beliau, perniagaan perlu sentiasa berubah mengikut kehendak pasaran dan tidak boleh terlalu selesa dengan formula lama.

“Kita kena ikut trend. Apa yang kita buat dahulu tidak semestinya paling betul untuk selama-lamanya.

“Sekarang, apabila hendak membeli barang, orang akan memilih lokasi yang paling dekat kerana mereka tidak mahu pergi jauh. Pengguna mahukan kecekapan dan harga yang berpatutan,” katanya.

Berkongsi lanjut, beliau berkata, perjalanan Mydin dalam industri peruncitan bukan bermula dengan rangkaian hypermarket besar seperti yang dikenali hari ini.

Sebaliknya, Ameer berkata, syarikat itu bermula daripada sebuah kedai kecil sebelum berkembang secara berperingkat hasil pengalaman dan keberanian membuat keputusan dalam perniagaan.

**media[3525483]**

“Setiap fasa perkembangan syarikat membawa cabaran tersendiri, terutama ketika membuka cawangan baharu dan menilai model perniagaan yang sesuai dengan kehendak pasaran.

“Membuka kedai pertama mungkin kelihatan mudah, namun cabaran sebenar bermula apabila perniagaan berkembang kepada dua atau tiga cawangan kerana setiap keputusan memerlukan pertimbangan dari segi kos, lokasi dan operasi.

“Apabila membuka hypermarket pertama memang sukar, tetapi selepas membuka beberapa lagi, kita mula belajar dan memahami bagaimana model itu berfungsi,” katanya.

Beliau berkata, perubahan tabiat pengguna turut mempengaruhi strategi perniagaan Mydin, termasuk pendekatan membuka kedai yang lebih sesuai dengan keperluan komuniti setempat.

Selain itu, konsep diperkenalkan syarikat itu turut memberi penekanan kepada aspek kebersihan, produk halal dan barangan segar seperti ikan serta sayur-sayuran yang menjadi keperluan harian pelanggan.

**media[3525481]**

Beliau berkata, berpengalaman luas dalam industri peruncitan membantu Mydin mengekalkan harga berpatutan menerusi hubungan baik dengan pembekal, selain kecekapan operasi dan rantaian bekalan.

Anugerah simbol kepercayaan rakyat kepada Mydin

Terdahulu, Mydin merangkul dua pengiktirafan apabila menerima Anugerah Hypermarket Pilihan Rakyat serta salah satu daripada lima Anugerah Khas Juri sempena Malam Bisnes Sinar Awards 2026 yang diadakan oleh Sinar Harian di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bagi Ameer, pengiktirafan seperti BISA 2026 amat bermakna kerana ia mencerminkan penerimaan rakyat terhadap usaha Mydin dalam memenuhi keperluan pelanggan sejak sekian lama.

Menurutnya, anugerah tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan semua kakitangan yang bekerja keras sejak penubuhan syarikat itu lebih 60 tahun lalu.

**media[3525482]**

“Anugerah ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk semua pekerja Mydin yang bekerja keras selama ini.

“Kita bekerja bersama-sama sebagai satu keluarga. Inilah dedikasi yang saya mahu berikan kepada keluarga dan semua kakitangan yang telah bersama syarikat selama ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan usahawan muda agar tidak terlalu mengejar kekayaan semata-mata kerana kejayaan dalam dunia perniagaan memerlukan kesabaran, kerja keras dan prinsip yang kukuh.

Ujarnya, prinsip itu dipegang dalam membina kejayaan perniagaan yang dekat di hati masyarakat sejak sekian lama.

“Kalau kekayaan datang terlalu cepat, ia juga boleh hilang dengan cepat. Jadi, lebih baik kita bersabar. Lupakan hasrat untuk cepat kaya atau menjadi terkenal.

“Kita kerja kuat dan cari rezeki yang halal. Insya-ALLAH, perlahan-lahan, apa yang kita usahakan akan kita peroleh,” katanya.