Perjalanan KDEB Waste Management (KDEBWM) kira-kira 10 tahun lalu bermula daripada sebuah organisasi berorientasikan operasi sehingga mencapai tahap peneraju industri yang kini menjadi kebanggaan Selangor bukan sesuatu yang mudah dan tidak berlaku tanpa transformasi strategik.
Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir, pada fasa awal, keutamaan pihaknya adalah membina asas yang kukuh melalui kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan.
Namun, beliau berkata, menyedari bahawa masa depan industri pengurusan sisa tidak lagi bergantung kepada pendekatan konvensional, sebaliknya ia menuntut peralihan kepada model yang lebih pintar, mampan dan bersepadu.
Atas dasar itu ujarnya, KDEBWM telah melaksanakan transformasi menyeluruh dengan mengintegrasikan teknologi digital, analitik data dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam keseluruhan rantaian nilai.
“Berbalik kepada 10 tahun lepas apabila kita diberikan mandat oleh kerajaan negeri untuk mengambil alih semula pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Selangor, matlamat kita pada ketika itu adalah untuk memastikan Selangor bersih dan memberikan perkhidmatan sama rata di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Seiring dengan itu juga, kita telah pun merancang, susun dan dalam masa sama arahkan semua kakitangan KDEBWM untuk ambil tanggungjawab tersebut serta kita merancang pelan perniagaan yang mampan.
“Tidak dinafi kan pada ketika itu, kami merasakan satu perkara yang sangat berat berikutan mandat yang diberikan kerajaan negeri. Alhamdulillah selama 10 tahun ini kita telah dapat merangka satu sistem baharu, program yang baharu dan memastikan semua sampah terhasil dan dikutip dengan baik serta berkesan,” katanya kepada Sinar Harian.
KDEBWM bentuk masa depan industri
**media[3525511]**
Sementara itu, ditanya mengenai kekuatan unik yang menjadikan organisasinya bukan sekadar pengurus sisa, tetapi pemacu perubahan dalam industri, Ramli berkata, ia didorong oleh keupayaan menggabungkan kecemerlangan operasi dan strategi berpandangan jauh.
Menurutnya, KDEBWM juga bukan hanya melaksanakan tugas, tetapi membentuk masa depan industri.
“Pertama, kami beroperasi dengan disiplin pelaksanaan bertaraf tinggi, memastikan setiap strategi diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur dan berimpak. Kedua, kami mengamalkan pendekatan integrated smart ecosystem (ekosistem pintar bersepadu) di mana teknologi, data dan kelestarian digabungkan bagi mengoptimumkan keseluruhan sistem pengurusan sisa.
“Lebih penting, kami melihat sisa sebagai sebahagian daripada ekonomi masa depan. Dengan perspektif ini, KDEBWM memainkan peranan sebagai pemacu kepada circular economy transition (peralihan ekonomi), selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kekuatan sebenar KDEBWM terletak pada warga kerja
Beliau dalam masa sama mengakui, kekuatan sebenar KDBEWM terletak pada warga kerja yang mempunyai pemikiran global, sekali gus membentuk sebuah kombinasi yang membolehkan organisasi bergerak setanding dengan pemain utama di Asia tanpa mengabaikan keperluan komuniti setempat.
Menurutnya, warga kerja yang berfi kiran global menjadi pemangkin kepada usaha membentuk masa depan industri pengurusan sisa.
**media[3525519]**
“Kami mengamalkan pendekatan kepimpinan yang berpandukan data dan dipacu oleh nilai. Setiap keputusan strategik dibuat dengan mengambil kira keseimbangan antara prestasi operasi, kelestarian dan kepentingan masyarakat.
“Budaya kerja kami pula dibentuk berasaskan high-performance culture dengan global standards, di mana inovasi, ketangkasan dan pembelajaran berterusan menjadi norma. Dalam masa yang sama, kami mengekalkan elemen kebersamaan dan tujuan bersama yang menjadi kekuatan organisasi,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan KDEBWM, Ramli berkata, pihaknya akan mempercepatkan pelaksanaan beberapa inisiatif strategik termasuk memperluaskan penggunaan teknologi pintar dalam operasi, memperkukuh amalan ESG serta menerajui pembangunan ekonomi kitaran dalam sektor berkenaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan sistem pengurusan sisa yang lebih cekap, mampan dan memberi nilai tambah kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa KDEBWM mempunyai visi jangka panjang untuk muncul sebagai rujukan serantau dalam bidang pengurusan sisa pepejal pintar dan lestari.
“Dengan sokongan semua pihak, kami yakin mampu mencapai aspirasi ini dan terus mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Anugerah bukan sekadar pengiktirafan
Sementara itu, menyentuh kejayaan KDEBWM meraih pengiktirafan dalam Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026 menerusi Anugerah Inovasi Pengurusan Sisa, Ramli menyifatkan ia satu penghargaan besar terhadap kejayaan transformasi organisasi itu ke arah pengurusan sisa yang lebih pintar dan lestari.
Beliau berkata, anugerah tersebut mencerminkan penerimaan terhadap model transformasi KDEBWM daripada sebuah organisasi operasi kepada entiti pengurusan sisa bertaraf dunia.
Menurut beliau, kejayaan itu bukan sekadar simbol pencapaian, sebaliknya membawa tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan kecemerlangan berterusan.
“Anugerah ini amat bermakna kerana ia mengiktiraf usaha transformasi yang telah kami laksanakan. Ia bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu amanah untuk terus memimpin perubahan dalam industri,” katanya.






