liza10/09/2026 - 17:17 Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 100 peserta dan memberi tumpuan kepada aspek pensijilan halal, perlindungan harta intelek serta penguatkuasaan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menggesa pemain industri halal mendaftarkan cap dagangan lebih awal bagi melindungi jenama mereka, khususnya apabila perniagaan semakin berkembang ke pasaran e-dagang, pelesenan, francais dan eksport.
MyIPO berkata, pendaftaran cap dagangan dapat memberikan perlindungan undang-undang yang lebih kukuh kepada pemilik jenama, selain mengurangkan risiko pertikaian pemilikan, peniruan dan penyalahgunaan identiti perniagaan.
Langkah itu juga dilihat penting selaras dengan usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal global serta meningkatkan nilai komersial industri halal negara.
Setakat September 2025, hampir 10,000 syarikat telah memperoleh Pensijilan Halal Malaysia dengan lebih 80% daripadanya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Setakat ini, cap dagangan produk halal Malaysia telah didaftarkan dan diiktiraf di hampir 50 negara, menunjukkan skop pasaran yang semakin luas bagi produk halal keluaran Malaysia.
Potensi Besar Pasaran Halal Global
Pasaran halal global kini bernilai lebih RM16 trilion dan dijangka berkembang kepada sekitar RM22.88 trilion menjelang 2030.
Perkembangan pasaran itu turut membuka ruang lebih besar kepada perniagaan halal Malaysia untuk memperluas operasi serta membawa produk mereka ke pasaran antarabangsa.
Di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030, industri halal Malaysia disasarkan menyumbang RM231 bilion atau 10.8% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.
Eksport halal negara pula disasarkan mencapai RM75 bilion menjelang 2030, selaras dengan usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam industri halal global.
MyIPO berkata, produk halal Malaysia bukan sahaja membawa nilai dari segi kualiti dan pematuhan, malah turut membawa reputasi, inovasi serta identiti negara.
Perlindungan Jenama Jadi Aspek Strategik
Sehubungan itu, MyIPO berkata, perlindungan strategik terhadap jenama menjadi semakin penting bagi memastikan identiti dan nilai yang dibina oleh perniagaan halal dapat dilindungi ketika industri terus berkembang.
Perkara itu diketengahkan menerusi program sulung IP Halal Synergy: Inovasi, Perlindungan dan Penguatkuasaan yang dianjurkan MyIPO dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 100 peserta dan memberi tumpuan kepada aspek pensijilan halal, perlindungan harta intelek serta penguatkuasaan.
MyIPO berkata, program itu memberikan gambaran lebih menyeluruh kepada pemain industri mengenai ekosistem halal, termasuk kepentingan perlindungan harta intelek dalam menyokong perkembangan perniagaan.- DagangNews.com






