PUTRAJAYA - MyKad baharu yang akan diperkenalkan pada Jun ini akan dilengkapi 53 ciri keselamatan termasuk imbasan kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pelancaran MyKad baharu ini nanti akan diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Di peringkat JPN, kita telah bersedia untuk tujuan tersebut.
"Sebelum ini, MyKad ada 23 ciri-ciri keselamatan dan kita telah tambah baik kepada 53 (ciri keselamatan) antaranya turihan laser, ultraviolet UV, hologram, guilloche, microtext, kod QR bagi tujuan penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Temu Mesra Pengurusan JPN Bersama Media di sini pada Khamis.
**media[3513852]**
Menurut beliau, JPN percaya MyKad yang ada dari dahulu hingga kini tidak boleh diklon disebabkan ciri keselamatannya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan tiada pembaharuan bagi penggunaan MyKid.
Sebaliknya, jelas beliau, dua lagi kad pengenalan yang akan diperkenalkan ialah MyTentera dan MyPoca.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan pelancaran MyKad baharu yang menampilkan struktur serta ciri keselamatan terkini merupakan usaha memperkukuhkan sistem identiti nasional yang lebih moden, selamat dan diyakini.
"Pelaksanaan MyKad baharu ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan keselamatan identiti rakyat selaras dengan perkembangan teknologi dan cabaran keselamatan semasa.
"Dalam era ancaman pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan serta penyalahgunaan teknologi digital, negara memerlukan sistem identiti yang lebih dinamik, lebih selamat dan lebih diyakini," katanya.
Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pengenalan dokumen baharu itu adalah satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia.
Mengulas mengenai majlis bersama media itu, Badrul Hisham berkata, media hari ini bukan sahaja berperanan sebagai penyampai berita, tetapi juga sebagai benteng yang mempertahankan kredibiliti maklumat dan kestabilan sosial negara.
"Atas sebab itu, saya ingin merakamkan penghargaan yang tulus kepada rakan-rakan media yang selama ini sentiasa memberikan kerjasama baik kepada JPN.
"Terima kasih kerana sentiasa membantu kami menyampaikan penjelasan kepada rakyat dan terus profesional walaupun kadangkala berdepan tekanan, kekangan masa dan cabaran operasi," katanya.




