
MyRail Life 2026: Lebih Ramai Layak Perjalanan Percuma
MyRail Life 2026 tampil sebagai satu lagi inisiatif pengangkutan awam yang memberi impak besar kepada rakyat apabila kelayakan program ini diperluaskan kepada lebih ramai golongan bermula tahun ini.
Dengan penambahan kategori penerima baru termasuk kanak-kanak seawal usia prasekolah, MyRail Life bukan sahaja memudahkan pergerakan harian. Malah ia juga mencerminkan usaha berterusan dalam menyediakan akses mobiliti yang lebih inklusif dan mesra keluarga.
Kemudahan perjalanan percuma tanpa had ini dilihat sebagai langkah strategik untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga. Terutamanya bagi perjalanan berulang seperti ke sekolah, kelas tambahan dan urusan harian lain.
Peluasan MyRail Life 2026 turut membuka peluang kepada lebih ramai pelajar dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menggunakan pengangkutan awam secara konsisten tanpa memikirkan kos tambang.
Selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, inisiatif ini juga menyokong gaya hidup bandar yang lebih lestari dan teratur.
Dengan liputan laluan rel yang strategik serta proses pendaftaran yang semakin mudah, MyRail Life dilihat sebagai satu solusi praktikal untuk mobiliti harian rakyat.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu menjimatkan kos perjalanan malah turut menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan utama.
Apa itu MyRail Life?
MyRail Life ialah satu program pas perjalanan percuma tanpa had yang diperkenalkan bagi memberi akses mobiliti yang lebih mudah kepada kanak-kanak, pelajar dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Pas ini membolehkan pemegangnya menggunakan perkhidmatan rel terpilih tanpa perlu membeli tiket harian. Dalam masa yang sama, ia juga dapat menjimatkan kos perjalanan dalam jangka panjang.
Lebih daripada sekadar kemudahan tambang percuma, MyRail Life berfungsi sebagai sokongan sosial yang membantu golongan sasar bergerak dengan lebih bebas, konsisten dan selamat.
Program ini amat bermanfaat kepada pelajar yang perlu berulang-alik setiap hari serta OKU yang memerlukan akses pengangkutan awam yang lebih mesra dan berpatutan.
Golongan yang layak mendapatkan MyRail Life
Mulai 2026, MyRail Life diperluaskan kepada lebih ramai penerima melibatkan beberapa kategori utama iaitu:
- Warganegara Malaysia
- Kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun
- Pelajar sekolah berumur 7 hingga 17 tahun
- Pelajar Tingkatan 6
- Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan JKM
Peluasan kelayakan ini memberi manfaat besar kepada keluarga kususnya yang mempunyai anak bersekolah. Di samping itu jua, ia dapat memastikan golongan OKU terus mendapat akses kepada pengangkutan awam yang mudah, efisien dan mampu milik.
Laluan perjalanan MyRail Life
- Shuttle Timuran (DMU)- Meliputi perjalanan dari Gemas hingga ke Tumpat. Ianya sesuai untuk pergerakan di laluan Pantai Timur.
- KTM Komuter – Sektor Lembah Klang- Laluan ini merangkumi perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim serta Batu Caves ke Pulau Sebang. Ia berfungsi untuk menghubungkan kawasan bandar dengan kawasan pinggir bandar utama, memudahkan pergerakan harian pengguna.
- KTM Komuter – Sektor Utara- Melibatkan laluan Padang Besar ke Butterworth dan Padang Rengas ke Butterworth. Ianya akan memudahkan perjalanan harian di kawasan utara Semenanjung.
Cara memohon Pas MyRail Life 2026
1. Permohonan secara online / aplikasi
- Muat turun aplikasi- Pas MyRail Life boleh dipohon melalui aplikasi KITS Style atau KTMB Mobile yang boleh dimuat turun ke peranti mudah alih.
- Lengkapkan pendaftaran- Lakukan pendaftaran akaun dan isi maklumat permohonan MyRail Life di bahagian pendaftaran khas yang disediakan dalam aplikasi atau laman web rasmi KTMB.
- Sediakan dokumen sokongan- Pemohon perlu memuat naik salinan MyKad atau MyKid, sijil kelahiran (jika diminta) atau kad OKU JKM bagi kategori berkaitan.
- Tunggu keputusan permohonan- Permohonan akan diproses oleh pihak KTMB dan pemohon perlu menunggu pengesahan kelulusan.
- Ambil pas fizikal- Setelah permohonan diluluskan, pemohon boleh hadir ke kaunter KTM terdekat untuk mendapatkan kad fizikal Komuter Link. Pemohon perlu membawa dokumen asal serta salinan untuk tujuan pengesahan.
2. Permohonan terus di kaunter stesen
- Hadir ke kaunter KTM- Pemohon boleh terus mengunjungi kaunter stesen KTM yang berdekatan tanpa perlu membuat permohonan dalam talian.
- Bawa dokumen lengkap- Pastikan MyKad atau MyKid dibawa semasa hadir ke kaunter. Selain itu, bawa juga sijil kelahiran, kad OKU JKM atau dokumen pengesahan sekolah bagi pelajar Tingkatan 6.
- Penukaran kad lama- Bagi pemohon yang memiliki kad komuter lama, kad tersebut perlu dibawa untuk ditukar kepada Pas MyRail Life yang baharu.
Pas MyRail Life adalah untuk kegunaan individu berdaftar sahaja dan tidak boleh dipindah milik kepada orang lain. Pengguna disarankan untuk sentiasa membawa pas atau dokumen pengenalan diri semasa melakukan perjalanan.
Ini penting bagi tujuan pengesahan sekiranya pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa pengangkutan.
Secara keseluruhannya, peluasan MyRail Life Unlimited Free Travel Pass bermula tahun 2026 merupakan satu langkah progresif dalam memperkukuhkan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif dan mesra rakyat.
Dengan menyediakan perjalanan percuma tanpa had kepada kanak-kanak, pelajar dan golongan OKU, program ini membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Selain itu, ia turut menyokong akses kepada pendidikan, kemudahan kesihatan dan aktiviti harian dengan lebih efisien. Inisiatif ini diharap dapat terus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara meluas serta mengurangkan kesesakan di jalan raya.
Pada masa yang sama, program ini bertujuan membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap mobiliti lestari dan kemudahan awam.
Sumber : FB KTM Berhad, KTMB
BACA : 9 Cara Berkesan Hilang Bau Masakan Dalam Rumah
The post MyRail Life 2026: Lebih Ramai Layak Perjalanan Percuma appeared first on Siakap Keli.



