MyRatu tunai impian anak yatim teroka dunia aviasi

21 Oct 2026 • 4:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MyRatu tunai impian anak yatim teroka dunia aviasi

IMPIAN mengenali dunia penerbangan menjadi kenyataan buat 18 anak yatim daripada Rumah Perlindungan Amal TBQ Amal apabila mereka berpeluang menjejakkan kaki ke hangar pesawat dan meneroka sendiri dunia aviasi (penerbangan) menerusi program MyRatu Young Wings of Dreams (MyRatu) baru-baru ini.

Program anjuran MyRatu di bawah Bigwealthy Global Sdn. Bhd., dengan kerjasama FRAS Flying Club di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor itu memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai industri penerbangan serta pelbagai prospek kerjaya yang boleh diterokai dalam bidang berkenaan.

Sepanjang program, peserta berpeluang melihat pesawat dari dekat, memasuki kokpit, mengenali fungsi asas instrumen penerbangan serta mempelajari asas aerodinamik menerusi perkongsian bersama juruterbang berpengalaman.

Pengalaman tersebut bukan sekadar membuka ruang kepada peserta mengenali dunia aviasi, malah diharap dapat mencetuskan keyakinan bahawa latar belakang kehidupan tidak seharusnya membataskan cita-cita seseorang.

Pengarah Urusan Bigwealthy Global Sdn. Bhd., Saadiah Ibrahim berkata, program berkenaan diwujudkan bagi membuka horizon generasi muda dan memberi mereka peluang melihat sendiri kemungkinan kerjaya yang mungkin sebelum ini dirasakan terlalu jauh untuk dicapai.

“Kadangkala, sebuah impian bermula hanya dengan satu peluang untuk melihat dunia yang belum pernah kita kenali.

“Kami mahu mereka pulang dengan keyakinan bahawa masa depan tidak ditentukan oleh latar belakang, tetapi boleh dibina melalui keberanian, ilmu dan usaha,” katanya kepada K-Variasi.

Image from: MyRatu tunai impian anak yatim teroka dunia aviasi
PESERTA diajar fungsi asas instrumen di dalam kokpit dan asas aerodinamik pesawat.

Sementara itu, pengurus program, Nur Sakinah Badruddin berkata, keterujaan peserta amat jelas apabila mereka diberikan peluang merasai sendiri suasana di dalam kokpit.

“Bagi sesetengah peserta, ini merupakan pengalaman pertama mereka melihat pesawat dari jarak dekat dan memasuki kokpit. Lebih menggembirakan apabila ada antara mereka yang mula menyuarakan cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang.

“Bagi kami, apabila seorang anak mula berani bermimpi dan memasang impian, maka di situlah sebuah perjalanan baharu bermula,” katanya.

Bersempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, peserta turut menyertai aktiviti mewarna Jalur Gemilang dan memasang model lego helikopter yang dirangka untuk merangsang kreativiti, kerjasama berpasukan serta semangat cintakan negara.

Bagi MyRatu, inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya memperluas akses generasi muda kepada pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.

“Ia juga bertujuan menyuntik motivasi dan keyakinan untuk anak muda meneroka peluang pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan.

“Setiap anak berhak diberi peluang untuk melihat lebih jauh, bermimpi lebih tinggi dan percaya bahawa suatu hari nanti mereka mampu terbang menggapai cita-cita,” katanya.

The post MyRatu tunai impian anak yatim teroka dunia aviasi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved