
PETALING JAYA – MySihat Expo 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 9 Oktober bakal menarik kunjungan lebih daripada 100,000 orang dan lebih daripada 600 jenama serta pempamer, menjadikan ia sebagai penanda aras baharu bagi penganjuran festival kesihatan dan gaya hidup di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ekspo yang akan bertempat di MAEPS, Serdang itu bakal menghimpunkan empat acara utama iaitu festival kesihatan, kesejahteraan, sukan dan gaya hidup dalam satu platform bersepadu.
Ia turut menggabungkan acara lain berkaitan seni budaya dan warisan, pemakanan dan hiburan dalam satu pengalaman interaktif.
“Penganjuran ini memperkenalkan pendekatan baharu kepada landskap ekspo di Malaysia dengan mengubah konsep pameran tradisional menjadi festival yang membolehkan pengunjung belajar, mencuba, berinteraksi dan mengalami sendiri pelbagai aspek kesihatan, kecergasan, seni budaya dan gaya hidup sihat.

“Empat komponen utama yang bakal menjadi tarikan festival ialah MySihat Expo, HUNTR Games Kuala Lumpur, FragMania dan Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, sebagai platform utama, MySihat Expo menghimpunkan hospital, pusat perubatan, klinik, syarikat kesihatan, jenama kesejahteraan, nutrisi, kecantikan, teknologi kesihatan dan sukan yang mana pengunjung berpeluang menyertai pemeriksaan kesihatan percuma, konsultasi bersama doktor dan pakar, forum kesihatan, ceramah gaya hidup sihat, bengkel pertolongan cemas, demonstrasi serta aktiviti komuniti termasuk yoga, zumba dan larian santai.
HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 pula bakal menempatkan Malaysia sebagai tuan rumah kepada antara pertandingan perlumbaan kecergasan terbesar di rantau ini.

Acara itu dijangka menghimpunkan lebih 8,000 atlet dan peserta dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Korea Selatan.
Selain itu, bagi peminat wangian, FragMania bakal menghimpunkan jenama tempatan dan antarabangsa yang membolehkan pengunjung berpeluang mencuba pelbagai koleksi haruman, bertemu pengasas jenama, mengikuti pelancaran produk baharu, demonstrasi dan sesi perkongsian industri serta meneroka dunia wangian secara langsung.
Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta pula kembali selepas penganjuran sulung pada 2025 dengan konsep yang lebih segar dan sihat. Festival itu mengetengahkan vendor yang menawarkan pilihan makanan lebih sihat, seimbang dan berkualiti, di samping menghimpunkan pengusaha makanan dari seluruh negara.
Selain menjadi destinasi untuk orang ramai, MySihat Expo 2026 turut membuka peluang penyertaan kepada hospital, pusat perubatan, klinik, syarikat farmaseutikal, jenama kesejahteraan, pengeluar makanan, syarikat nutrisi, pengusaha wangian, jenama kecergasan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat korporat sebagai pempamer, penaja atau rakan strategik. -KOSMO! ONLINE
The post MySihat Expo 2026 pada 9 Oktober ini bakal dikunjungi lebih 100,000 orang appeared first on Kosmo Digital.






