
Pelakon Nabila Huda tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan Sophia Albarakbah susulan tegurannya terhadap isu cinta lokasi sebelum ini.
Tidak berniat untuk mencampuri urusan orang, Nabila berkata teguran yang dilakukan itu adalah berbentuk profesional, secara umum dan tidak ditujukan kepada individu tertentu.
“Saya tak ada apa-apa isu pun dengan Sophia cuma pada ketika itu isu semasa berkenaan sedang hangat diperkatakan.
“Saya hanya komen tentang isu semasa yang saya tak suka. Sebagai pelakon senior, saya memberikan teguran kerana tidak mahu orang memberikan pandangan buruk tentang industri kita.
“Kasihanlah pada mereka yang berusaha keras daripada muda san jujur nak menjadi seorang pelakon. Kalau terjadinya perkara sebegini, senang-senang sahaja orang nak burukkan kita.
“Jadi pada saya, itulah pentingnya kita menjada perkara-perkara seperti ini. Nasihat saya itu adalah pada ketika itu, situasi itu.
“Saya okay untuk bekerja dengan sesiapa sahaja, teguran saya itu adalah sebagai seorang yang profesional.
“Tidak bermaksud apa-apa dan saya juga tidak mempunyai perasaan buruk tentang sesiapa pun sebab saya tak mahu bermusuh,” jelasnya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Budak Flat bertempat di MBO Atria, Damansara Jaya baru-baru ini.


