
SEPANG: Pelumba berbasikal Kedah, Nurul Nabilah Mohd Asri mencetuskan kebangkitan menakjubkan untuk mempertahankan emas acara kriterium wanita buat negeri itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Nabilah pada awal perlumbaan gagal menyerlah apabila hanya menduduki tempat kedua dalam pecutan pertama sebelum merosot ke tangga keempat pada pecutan berikutnya di laluan 2.3 kilometer (km) bermula dan berakhir di Bagan Lalang.
Namun, pelumba berusia 18 tahun itu bangkit pada detik penting apabila memenangi tiga pecutan terakhir untuk mengumpul 21 mata dan muncul juara.
Ameera Alya Zahirrudin dari Terengganu terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengutip 12 mata, manakala rakan sepasukannya, Nur Aieris Madhiah Mohd Adni meraih gangsa dengan 11 mata.
“Saya berada di tempat kedua pada pecutan pertama dan hanya keempat pada pecutan kedua, tetapi saya berjaya bangkit dan memenangi tiga pecutan terakhir.
“Ameera adalah pelumba pecut yang sangat bagus dan bukan mudah untuk bersaing dengannya, malah saya agak penat selepas perlumbaan sebelum ini tetapi berjaya menguruskannya,” katanya.
Kemenangan itu turut memastikan Kedah mengekalkan emas kriterium yang dimenangi Nur Fitrah Shaari pada SUKMA Sarawak 2024, selain menjadi emas kedua Nabilah selepas turut mengungguli acara basikal gunung merentas desa Olimpik (XCO) minggu lalu.
“Saya sangat gembira dapat memenanginya untuk Kedah sekali lagi kerana Fitrah memenangi emas kriterium untuk kami pada SUKMA Sarawak 2024,” katanya.
Nabilah, yang juga adik kepada ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati yang memiliki tiga emas Kejohanan Asia, kini mengalihkan fokus kepada usaha mempertahankan emas kategori berpasukan dalam perlumbaan jalan raya bermula beramai-ramai wanita esok.
“Kami sudah melihat laluan dan ia agak rata, jadi kemungkinan besar perlumbaan akan berakhir dengan pecutan berkumpulan, namun saya fikir Terengganu berbahaya dan kami juga perlu berhati-hati dengan Johor kerana mereka mungkin cuba melakukan serangan awal,” katanya. – UTUSAN
The post Nabilah bangkit pertahan emas kriterium buat Kedah appeared first on Utusan Malaysia.






